Hussein Omar Khan (dua dari kiri) menunjukkan bagasi berisi wang tunai melebihi RM500,000 yang ditemukan di parkir sebuah pusat beli-belah di Damansara, Selangor, hari ini.
SUBANG JAYA: Seorang pengawal keselamatan di sebuah pusat beli-belah di Damansara dekat sini menemukan satu bagasi berisi wang tunai melebihi RM500,000 di tempat meletak kenderaan di premis tersebut.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang pengawal keselamatan warga tempatan berusia 30-an semalam berkaitan penemuan sebuah bagasi berwarna merah jambu dan putih bersaiz sederhana kira-kira pukul 8 pagi.
Katanya, hasil pengiraan mendapati beg itu berisi wang kertas nota RM50 dan RM100 dengan jumlah keseluruhan melebihi RM500,000.
“Kita percaya wang tersebut adalah tulen. Bagaimanapun, kita akan sahkan dengan Bank Negara Malaysia (BNM).
“Justeru, kita minta mana-mana individu yang ada tertinggal bagasi tidak berkunci berisi wang lebih RM500,000 untuk tampil ke Balai Polis Petaling Jaya atau menghubungi 03-79662222,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah Subang Jaya, hari ini.
Menurutnya, pihak polis telah meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di pusat beli-belah tersebut, namun tidak memfokus kepada lokasi bagasi tersebut ditemukan.
“Susulan itu, kita membuka siasatan di bawah kertas inkuiri polis berkaitan penemuan wang berkenaan.
“Jika pemilik ingin menuntut wang berkenaan, kita minta turut membawa bukti-bukti berkaitan. Bagaimanapun. sekiranya ia tidak dituntut, wang ini kita akan serahkan kepada pihak mahkamah untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Dalam kes berasingan, Hussein berkata, pihaknya menahan seorang lelaki tempatan berumur 33 tahun yang menjalankan aktiviti pengedaran dan penyeludupan arak lari cukai dalam serbuan di sebuah rumah di Petaling Jaya, Jumaat lalu.
Menurut beliau, dalam serbuan pada 4.10 petang itu turut menemukan sebanyak 13,087 botol dan tin arak disyaki untuk dijual bagi pasaran tempatan.
“Sehubungan itu, kita membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 135 (1) (D) Akta Kastam 1967 kerana memiliki arak lari cukai.
“Pihak polis juga mengalu-alukan orang ramai yang mempunyai maklumat perlakuan jenayah serta sebarang aktiviti yang mencurigakan boleh menyalurkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

































