Hannah Yeoh
KUALA LUMPUR: Mesyuarat Kabinet esok akan memutuskan sama ada kerajaan bersetuju menganjurkan Sukan Komanwel pada 2026 selepas Malaysia ditawar menjadi tuan rumah ekoran penarikan Australia.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, Persekutuan Sukan Komanwel (CJF) membuat tawaran ke Malaysia menjadi tuan rumah acara sukan tersebut dan menawarkan geran bantuan sebanyak 100 juta pound (RM603 juta).
Bagaimanapun, kata beliau, kementeriannya sentiasa meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan dan tidak akan membazirkan duit rakyat untuk menganjurkan Sukan Komanwel.
“Kita akan memastikan pendekatan konservatif diambil setiap kali melibatkan duit rakyat. Jika kerajaan bersetuju untuk melaksanakannya, kementerian mencadangkan perbelanjaan tidak melebihi geran yang diberikan oleh CJF.
“Mengambil kira wang rakyat, jika terpaksa digunakan mungkin pilihan terbaik yang akan diambil oleh kerajaan adalah untuk tidak menganjurkan (Sukan Komanwel). Ini kita kena tunggu keputusan Kabinet,” katanya semasa Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) yang memintanya menyatakan apakah pendirian kerajaan terhadap tawaran Malaysia untuk menjadi tuan rumah bagi Sukan Komanwel 2026.
Untuk rekod, tawaran tersebut dibuat ekoran Australia menarik diri menjadi tuan rumah tahun lalu berikutan peningkatan kos penganjuran daripada AUD2.6 bilion (RM8.09 bilion) kepada AUD7 bilion (RM21.78 bilion).
Mengulas lanjut, Hannah yang juga merupakan Ahli Parlimen Segambut berkata, kementeriannya bersedia melantik badan pengawal untuk membuat audit kepada akaun penganjuran jika keputusan dibuat untuk menganjurkan sukan tersebut.
“Paling utama kementerian ingin pastikan tatakelola yang betul diikuti, pengurusan wang yang telus, segala kos dan belanja direkodkan dengan teratur supaya akaun penganjuran ditutup dengan pantas serta baik.
“Saya percaya keputusan yang bakal diambil jemaah menteri akan mengutamakan kepentingan negara tanpa membelakangkan rakyat selari dengan agenda utama Kerajaan Madani,” katanya.




























