Juliah menyampaikan sumbangan kepada KIR mangsa kebakaran Kampung Laut Bongawan.
BONGAWAN: Seramai 29 Ketua Isi Rumah (KIR) mangsa bencana kebakaran Kampung Laut di sini menerima sumbangan berupa wang tunai daripada Pertubuhan Muafakat Titipan Amal Isteri Wakil Rakyat, Gabungan Rakyat Sabah (MUTIARA GRS) sempena Program Amal Kebajikan di perkarangan Surau Kampung Laut, di sini, hari ini.
Isteri Ketua Menteri, Datin Seri Hajah Juliah Salag yang juga Yang Dipertua MUTIARA GRS, menyampaikan sumbangan RM200 kepada semua KIR, selain sumbangan peribadi beliau.
Juliah dan rombongan MUTIARA GRS turut melawat dan meninjau tapak kebakaran dengan diiringi oleh Pegawai Daerah Membakut, Ibrahim Terki dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Bongawan, Haji Yusoff Terki.

Juliah melawat tapak kebakaran Kampung Laut Bongawan.
Sebanyak 12 buah rumah musnah dalam kebakaran yang berlaku pada 4 Mac lalu,, melibatkan 29 KIR (97 orang mangsa).
Pada 6 Mac 2024 lalu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri, Datuk Dr. Mohd. Arifin Mohd. Arif yang juga Exco Agama turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM35,000 daripada Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) dan Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah (PBNS) kepada mangsa kebakaran Kampung Laut.
Sementara itu, Juliah bersama rombongan MUTIARA GRS turut melawat Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Bongawan di Taman Bongawan Ria, yang kini mempunyai seramai 26 kanak-kanak berumur di antara 5 hingga 23 tahun.

Juliah menyantuni kanak-kanak istimewa semasa melawat Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Bongawan.
Juliah turut menyerahkan sumbangan daripada MUTIARA GRS sebanyak RM1,000 kepada Pengerusi PPDK Bongawan, Normah Mammad, selain menyantuni anak-anak istimewa di pusat itu.
Turut hadir ialah Naib Yang Dipertua II MUTIARA GRS, Datin Seri Linda Ewit yang juga Pengerusi Biro Kebajikan, Pengerusi Biro Agama MUTIARA GRS, Datin Lenny Natasha Musa serta ahli-ahli MUTIARA GRS iaitu Datin Sri’ Asiah Udian, Datin Doreen Asiah Azlan @ Philip, Datin Nurul Ililiyana @ Doris Joprit dan isteri Ahli Parlimen Kimanis, Datin Dr. Rohamini @ Rumani Sibin.


































