Binatang ternakan mati akibat cuaca sejuk ekstrem di Mongolia. – Gambar IFRC
PETALING JAYA: Persatuan Palang Merah Antarabangsa (IFRC) melancarkan rayuan kecemasan bagi membantu rakyat Mongolia yang dilanda musim sejuk paling teruk dalam tempoh 50 tahun di bawah kesan Dzud (gelombang dingin).
Menurut Utusan Malaysia, IFRC memaklumkan, cuaca sejuk melampau bermula November tahun lalu mengakibatkan 76 peratus daripada kawasan negara itu kini terjejas oleh Dzud Putih dan Dzud Besi.
Katanya, keadaan itu menyebabkan kawasan rumput dilitupi salji dan ais yang tebal dan menghalang binatang ternakan daripada meragut rumput.
“Sejak Februari tahun ini, kadar kematian ternakan telah meningkat dan menjejaskan kira-kira 75 peratus daripada semua isi rumah penggembala. Dengan jumlah kematian binatang ternakan kini melebihi 4.7 juta ekor, ramalan rasmi meramalkan keadaan akan bertambah buruk,” katanya dalam kenyataan.
IFRC berkata, pihaknya memerlukan 4.5 juta Franc Swiss untuk membantu sehingga 10,000 keluarga pengembala yang terjejas oleh Dzud. Ia bagi bantuan tunai, perlindungan mata pencarian, sokongan kesihatan dan psikososial, latihan vokasional dan penglibatan komuniti.
IFRC berkata, mata pencarian penggembala yang bergantung kepada lembu, kambing, dan kuda, menghadapi ancaman yang serius.
Katanya, menurut penilaian Pusat Operasi Kecemasan, krisis itu akan menjadi dua kali lebih teruk daripada Dzud tahun lepas.
“Ia meramalkan impak yang lebih signifikan daripada Dzud pada tahun 2010 yang mengakibatkan kematian 10.3 juta binatang ternakan dan menjejaskan 28 peratus populasi Mongolia.
“Krisis ini memberi kesan yang tidak seimbang kepada penggembala yang mempunyai jumlah binatang ternakan yang lebih kecil kerana kadar pemulihan ternakan mereka adalah amat rendah,” katanya.
Tambah IFRC, lebih 7,000 keluarga kini kekurangan makanan yang mencukupi, dan salji yang lebat telah menimbus lebih daripada 1,000 rumah penggembala (rumah tradisional) dan kandang ternakan.
Sehingga kini, 2,257 keluarga penggembala telah kehilangan lebih daripada 70 peratus ternakan mereka, dengan beribu-ribu lagi memerlukan perkhidmatan kesihatan asas, bahan api dan arang batu, tambahnya.
Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Palang Merah Mongolia, Bolormaa Nordov berkata, pihaknya bekerja keras untuk memberikan bantuan kemanusiaan kepada mereka yang terjejas bersama rakan kongsi dalam masa sukar ini.
“Kami bersyukur kerana IFRC sentiasa bersama kami, menyokong usaha kemanusiaan kami selama ini. Dengan Rayuan Kecemasan ini, kami berharap dapat meminimumkan impak kecemasan Dzud dan menyokong isi rumah yang terjejas dengan solusi jangka panjang untuk kehidupan dan mata pencarian mereka,” katanya.
Ketua Delegasi IFRC Asia Timur, Olga Dzhumaeva pula berkata, pihaknya menjadi saksi kepada pelbagai perjuangan yang dihadapi oleh banyak isi rumah penggembala daripada kehilangan ternakan berharga mereka kepada beban kesusahan kewangan, sumber terhad serta tekanan besar terhadap kesihatan mental dan fizikal mereka.
Namun katanya, IFRC juga menyaksikan harapan yang tidak berbelah bahagi dan ketabahan rakyat negara itu ketika mereka melawan keadaan musim sejuk ekstrem tersebut dengan kekuatan yang luar biasa.
“Kematian ternakan yang berterusan, sumber yang semakin berkurangan dan keadaan kehidupan yang semakin merosot bagi ratusan ribu orang di Mongolia pada musim sejuk ini merupakan peringatan yang nyata tentang keperluan mendesak untuk mendapatkan bantuan,” katanya.


































