Mazlan @ Joehari Manan
KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dan pimpinan Kerajaan Negeri bukan ahli silap mata ataupun pak nujum yang mampu untuk mewujudkan suatu perubahan dalam sekelip mata memandang, kata Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Lumadan, Mazlan @ Joehari Manan.
Bagaimanapun, katanya, kerangka hala tuju dan misi untuk perubahan telah disusun sebaiknya oleh Kerajaan Negeri pimpinan Hajiji agar Sabah dapat mencapai kemajuan yang lebih baik dan terjamin untuk hari esok dan masa depan.
Beliau berkata, kegigihan Kerajaan Negeri dalam tempoh tiga tahun ini telah membuahkan banyak kejayaan meskipun menghadapi pelbagai halangan dan rintangan termasuklah pandemik Covid-19 yang telah banyak merencatkan pembangunan dan misi Kerajaan.
“Antara kejayaan itu ialah peningkatan pendapatan negeri Sabah yang melebihi rekod pencapaian pendapatan mana-mana kerajaan negeri Sabah sebelum ini, hasil perundingan dengan Kerajaan Persekutuan dan kelantangan Kerajaan Sabah yang menghasilkan peningkatan pemberian khas tahunan Kerajaan Persekutuan kepada Sabah kepada sebanyak RM300 juta, perundingan yang baik bersama Petronas serta kelantangan dan ketegasan Kerajaan Negeri dalam berunding juga telah menghasilkan pelbagai perkara telah dipersetujui oleh Petronas kepada Kerajaan Sabah.
“Konsep mesra pelabur yang diperkenalkan oleh Ketua Menteri dan Kerajaan Negeri juga telah membawa kemasukan pelbagai syarikat-syarikat besar dunia untuk membuat pelaburan di Sabah dengan mencipta pelbagai peluang pekerjaan kepada anak-anak Sabah seperti syarikat Kibing, SK Nexilis, Esteel dan Linaco,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mazlan berkata, dengan kejayaan penghasilan pendapatan negeri yang baik pada hari ini, Kerajaan Negeri telah memperkenalkan pelbagai inisiatif untuk kegunaan dan kemajuan rakyat Sabah terutamanya dalam bidang pendidikan, seperti bantuan one-off kepada semua pelajar-pelajar IPTA dari golongan B40, bantuan komputer kepada pelajar dan bantuan kewangan kepada pelajar SPM dan STPM Sabah.
Tambahnya, selain itu, Kerajaan Negeri juga telah memperkenalkan skim Rumah Mesra SMJ untuk membantu lebih ramai rakyat miskin di Sabah memiliki rumah dengan setiap tahun sebanyak 20 buah rumah diperuntukkan untuk setiap DUN.
“Dan dalam Belanjawan Negeri tahun ini juga, jumlah peruntukan biasiswa dan pinjaman pendidikan kepada anak-anak Sabah yang belajar di IPT telah dinaikkan demi membantu anak-anak Sabah memperolehi pendidikan lebih baik dan membawa lebih banyak kemajuan kepada Sabah,” katanya.
Beliau berkata, pelbagai lagi inisiatif dan perancangan Kerajaan Negeri pada hari ini untuk dilaksanakan demi pembangunan dan kemakmuran Sabah di masa depan.
“Kestabilan politik dan kejujuran pimpinan dalam membawa kemajuan kepada Sabah amatlah penting. Kita yakin dan percaya atas kematangan dan pertimbangan yang wajar, rakyat Sabah akan terus memberikan sokongan dan berdiri teguh bersama pimpinan Kerajaan pada hari ini. Hanya dengan kestabilan dan kekukuhan politik Kerajaan boleh membawa lebih banyak kemajuan kepada Sabah dan rakyatnya,” kata Pegawai Khas kepada Ketua Menteri itu.
Mengulas tentang slogan Sabah Maju Jaya (SMJ) yang telah dipolemikkan oleh pemain-pemain politik terutamanya pembangkang di Sabah, Mazlan berkata, Sabah Maju Jaya adalah satu slogan untuk mengajak dan membawa aspirasi rakyat sabah ini bergerak maju ke hadapan untuk mencapai kejayaan dan kegemilangan dari segi pembangunan dan modal insan.
“Slogan ini juga adalah misi dan hala tuju Kerajaan Negeri Sabah pada hari ini. Maksud yang tersurat dan tersirat daripada slogan ini amatlah mudah difahami dan dihadam oleh rakyat Sabah. Di tambah lagi slogan ini memang pun sudah ada tertera di dalam jata negeri Sabah.
“Slogan dan Hala Tuju Sabah Maju Jaya ini telah dipolemikkan oleh pemain-pemain politik terutamanya pembangkang. Seruan dan niat ikhlas pimpinan Kerajaan hari ini untuk memartabatkan slogan Sabah Maju Jaya ini ke dalam kehidupan setiap pentadbiran Kerajaan dan rakyat negeri ini telah diperkotak-katikkan oleh pemimpin pembangkang dengan niat mahu menjatuhkan imej dan kredibiliti Kerajaan Negeri pada hari ini terutamanya Ketua Menteri.
“Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada hari ini hanyalah berusia tiga tahun. Sebahagian besar pemimpin pembangkang Sabah pada hari ini juga mengetahui akan halangan dan kekangan yang memang ada dalam kita membawa lebih banyak kemajuan kepada Sabah. Tetapi atas faktor kerakusan politik dan niat tidak ikhlas untuk Sabah, mereka sanggup mengadu domba serta menghasut pimpinan dan rakyat Sabah untuk mencapai niat politik mereka untuk terus memporak-porandakan kestabilan politik Sabah.”


































