PETALING JAYA: Perdagangan Malaysia mengekalkan trend positif pada Februari 2024 dengan peningkatan 3.3 peratus kepada RM211.79 bilion tahun ke tahun.
Eksport mengurang secara marginal sebanyak 0.8 peratus kepada RM111.33 bilion manakala import meningkat 8.4 peratus kepada RM100.46 bilion.
Menurut Utusan Malaysia, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dalam kenyataan berkata, perdagangan mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun bagi dua bulan berturut-turut pada tahun ini dan merupakan nilai bulanan tertinggi dalam sejarah perdagangan Malaysia bagi Februari.
Katanya, lebihan dagangan bernilai RM10.87 bilion dan merupakan lebihan dagangan yang ke-46 bulan berturut-turut sejak Mei 2020.
“Prestasi perdagangan negara mengekalkan trend peningkatan untuk dua bulan pertama 2024, dengan mencatatkan pertumbuhan 8.3 peratus kepada RM446.43 bilion berbanding tempoh sama tahun lalu.
“Eksport meningkat 3.9 peratus kepada RM233.74 bilion, disumbang oleh kenaikan tahun ke tahun eksport barangan perkilangan sebanyak 3.4 peratus kepada RM196.75 bilion. Ini telah dipacu oleh peningkatan eksport bagi barangan besi dan keluli, jentera, kelengkapan dan peralatan serta keluaran petroleum,” katanya.
Sementara itu, import meningkat 13.6 peratus kepada RM212.69 bilion, menghasilkan lebihan dagangan sebanyak RM21.04 bilion berbanding Januari 2024.
Jelas kenyataan itu, perdagangan global dijangka pulih pada tahun ini.
Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) mengunjurkan perdagangan barangan pada tahun 2024 tumbuh 3.3 peratus, manakala, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menjangkakan perdagangan global berkembang sebanyak 3.3 peratus.
IMF juga menyasarkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dunia meningkat sebanyak 3.1 peratus disumbang oleh prospek pertumbuhan yang lebih baik bagi dua pasaran ekonomi terbesar dunia, Amerika Syarikat (AS) dan China yang merupakan rakan dagang utama Malaysia.
Tinjauan global yang lebih baik ini juga disokong oleh perbelanjaan swasta dan awam yang lebih kukuh, serta peningkatan dalam penyertaan tenaga buruh, pemulihan rantaian bekalan serta harga bekalan tenaga dan komoditi yang lebih murah.
MITI dan agensinya, MATRADE terus optimis dan sentiasa memberi perhatian kepada risiko-risiko global, dan pada masa yang sama bertindak proaktif mencari peluang eksport di pasaran-pasaran sedia ada dan baharu seperti yang telah digariskan di dalam Rangka Tindakan Perdagangan Nasional.
“Seterusnya, berpandukan kepada Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030, MITI juga menarik lebih banyak pelaburan berkualiti tinggi yang akan meningkatkan nilai eksport pembuatan dan
perkhidmatan Malaysia di masa hadapan.
“MITI secara aktif menggalakkan pengeksport Malaysia untuk memanfaatkan faedah-faedah di bawah 16 Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) (7 FTA dua hala dan 9 FTA serantau) yang telah ditandatangani dan dalam pelaksanaan, termasuk dua FTA utama iaitu Perkongsian Komprehensif Ekonomi Serantau (RCEP) dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP),” katanya.


































