Anwar Ibrahim
PUTRAJAYA: Malaysia tidak mengambil pendirian untuk bermusuhan dengan negara-negara tertentu, sebaliknya mengamalkan dasar luar secara menyeluruh demi menarik pelaburan dan memulihkan ekonomi negara.
Menurut Utusan Malaysia, Perdama Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebagai sebuah negara kecil, Malaysia mahu lebih berkembang di samping menjaga kemaslahatan rakyat.
Katanya, langkah itu akan dilaksanakan biarpun ada negara barat yang sangsi dengan hubungan baik Malaysia dengan China, malah berpendirian tegas dalam soal Palestin.
“Cuma ada beberapa hal yang dibesarkan, soal Palestin dan China kerana banyak negara Barat agak sangsi mengapa nampak kita berdamping dengan China dan jawapan saya mudah, kita negara kecil, kita mahu berkembang, kita jaga kemaslahatan rakyat.
“Jadi apabila saya ditanya soalan, bab Chinafobia atau Sinofobia, saya jawab tak ada sebab untuk ada permusuhan dan anti sesiapa,” katanya ketika berucap dalam perhimpunan bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri, di sini kelmarin.
Menurut Anwar, hubungan dengan semua negara dalam soal kerjasama pelaburan amat baik dengan mengambil pendekatan sama bagi menggalakkan pelaburan timur dan barat yang memberi manfaat kepada negara.
Jelasnya, walaupun turut berbeza pendapat dengan Amerika Syarikat (AS) dalam isu memperjuangkan rakyat Palestin, Malaysia bersuara dengan terang dan jelas, malah ketika pertemuan dengan Canselor Jerman, Olaf Scholz baru-baru ini juga menyatakan pendirian sama.
“Di Australia, saya ditanya mengapa Malaysia pilih untuk mendukung China, saya jawab permasalahan persaingan AS dan China dalam penguasaan teknologi itu adalah masalah mereka. Tetapi apa yang terbaik di Eropah atau China kita rangkul semua, mengapa nak adakan sikap permusuhan.
“Di Jerman saya menyatakan, adakah kerana mereka menyokong Israel kita mengizinkan pembantaian di Gaza? Jadi mereka sebut bersrtuju untuk dilakukan genjatan senjata dan tambah bantuan di Palestin,” katanya.


































