Fadhlina Sidek
IPOH: Guru tidak dihalang memuatnaik kandungan media sosial selagi perkara yang dikongsikan itu memberikan pendidikan kepada murid.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, kementeriannya juga telah menetapkan garis panduan tentang perkara itu dan meminta semua guru mematuhi ketetapan yang ada.
Katanya, beliau juga telah berulang kali menegaskan perkara tersebut untuk perhatian semua.
“Kita ada garis panduan di peringkat Kementerian Pendidikan Malaysia dan kita minta semua guru-guru untuk patuhi garis panduan tersebut kalau nak buat content.
“Kita galakkan content ini dibuat dalam bentuk untuk memberikan pendidikan khususnya seperti membantu subjek-subjek untuk anak-anak murid dan juga kesedaran berkaitan dengan pendidikan.
“Jadi garis panduan ini mesti dipatuhi oleh semua guru,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian pada program Jaulah Ramadan Kementerian Pendidikan Malaysia Tahun 2024 Peringkat Negeri Perak di Sekolah Raja Perempuan Taayah di sini hari ini.
Pengerusi Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) Rafiq Razali dilaporkan mendesak para guru agar tidak menjadikan pelajar mereka sebagai kandungan dalam media sosial, terutamanya jika tanpa kebenaran ibu bapa.
Pengerusi Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) Rafiq Razali, berkata mereka perlu bertanggungjawab berhubung etika digital dalam penghasilan kandungan.
Program Jaulah Ramadan merupakan salah satu aktiviti Ihya Ramadan kementerian bagi tahun ini.
Di negeri Perak, sebanyak tiga sekolah dikunjungi oleh menteri itu bersama-sama pengurusan tertinggi kementerian iaitu Sekolah Raja Perempuan Taayah, Sekolah Agama Bantuan Kerajaan Maahad Al- Ummah dan Sekolah Raja Permaisuri Bainun.
Kementerian dengan kerjasama Yayasan Didik Negara memberi sumbangan kepada murid asnaf di sekolah tersebut dengan seramai 150 orang murid yang terpilih mendapat sumbangan.
Sumbangan itu bertujuan bagi melahirkan sifat ihsan dan empati kepada warga kementerian yang memerlukan bantuan dan sumbangan.


































