Ewon (tengah) bersama wakil penerima sumbangan bantuan persekolahan
KOTA BELUD: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick menyampaikan sumbangan bantuan persekolahan kepada 33 buah sekolah rendah dan menengah dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian.
Beliau berkata, bantuan persekolahan sejumlah RM180,000 itu disumbangkan oleh Yayasan Bank Rakyat (YBR) agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).
“Daripada jumlah itu sekolah menengah menerima RM10,000 setiap sekolah dan RM5,000 untuk setiap sekolah rendah, sama seperti bantuan awal persekolahan yang kita salurkan pada tahun lalu.
“Ini adalah kesinambungan tanggungjawab saya di kementerian dan sebagai wakil rakyat kawasan ini untuk terus memastikan pendidikan diberi perhatian sewajarnya selain memberi keutamaan kepada pembangunan keusahawanan dan koperasi.
“Selagi saya berada di kementerian, saya akan pastikan YBR akan meneruskan bantuan seperti ini dan batuan-bantuan lain untuk pelajar sekolah,” katanya ketika berucap menyempurnakan Majlis Penyerahan Sumbangan Sekolah-Sekolah DUN Kadamaian dan Bantuan Van Koperasi Sempena Jubli Perak 25 Tahun Penubuhan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tambulion, di Dewan Stalion SMK Tambulion, di sini, hari ini.
Ewon berkata, bagi menyelesaikan beberapa isu sekolah di kawasan Kota Belud khususnya di Kadamaian, beliau akan membawa Menteri Pendidikan untuk melawat beberapa buah sekolah di sini.
“Saya akan membawa Menteri Pendidikan melawat sebuah sekolah menengah, sebuah sekolah rendah dan sebuah sekolah jenis kebangsan yang mewakili isu-isu sekolah di kawasan Kota Belud.
“Saya telah memilih SMK Narinang yang berhadapan dengan isu kesesakan pelajar dan memerlukan penyelesaian jangka masa panjang. Kemudiannya di SK Tamu Darat untuk penaiktarafan bangunan sekolah dan memerlukan penyelesaian kementerian, seterusnya di SRA Rangalau pada hari yang sama.
“Ini adalah penyelesaian dan komitmen saya untuk membawa perkhidmatan terbaik kepada rakyat kawasan ini dan mudah-mudahan dapat membuka ruang kepada penyelesaian yang lebih besar pada masa akan datang, sesuai dengan Pelan Pembangunan Kadamaian yang telah kita lancarkan dan jadikan sebagai panduan membangunkan Kadamaian,” katanya.
Selain itu katanya beliau juga akan membawa Menteri Pelancongan Persekutuan dan Menteri Pertanian untuk mencari jalan penyelesaian isu-isu berkaitan pelancongan dan pertanian seperti aspirasi rakyat Kadamaian dalam Pelan Pembangunan Kadamaian.
SMK Tambulion terima van koperasi
Sementara itu, KUSKOP menerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) menyampaikan van koperasi bernilai RM140,000 kepada SMK Tambulion sempena Sambutan Jubli Perak sekolah itu, di sini, hari ini.
Majlis penyampaian sumbangan itu disempurnakan oleh Ewon yang berharap sumbangan Van Koperasi itu akan meningkaktan lagi perkhidmatan koperasi sekolah berkenaan seterusnya mewujudkan pendapatan baharu koperasi sekolah.
“Pada tahun 2023, SKM telah meluluskan sebanyak RM270,000 bantuan pembangunan perniagaan kepada tiga buah koperasi di DUN Kadamaian.
“Pada hari ini kita akan menyaksikan penyerahan sebuah Van kepada Koperasi SMK Tambulion melalui Bantuan Sektor Peneraju Ekonomi Koperasi (PROSPEK) bernila RM140,000 bagi membolehkan koperasi menjalankan aktiviti pengangkutan,” katanya.
Pada majlis itu, Ewon turut mengumumkan sumbangan sebanyak RM50,000 daripada peruntukan khas menteri untuk menaik taraf kemudahan dewan sekolah tersebut, termasuk pendawaian elektrik, perolehan mobile aircond dan kelengkapan lain.
Ewon berkata, kementeriannya menerusi SKM telah melaksanakan pelbagai program sepanjang tahun lepas dan menerima sambutan amat memberangsangkan.
“Melalui program-program yang dijalankan, masyarakat kini menyedari kepentingan berkoperasi dan menjadikan platform koperasi bukan sahaja tempat berniaga dan perkembangan ilmu pengetahuan tetapi diperlusakan sebagai penyatuan dan pembangunan ekonomi masyarakat,” katanya.
Mengenai jumlah koperasi di Sabah, beliau berkata setakat ini jumlah koperasi berdaftar di negeri ini sebanyak 1,707 buah dengan keanggotaan seramai 350,368 orang.
“Manakala syer dan yuran terkumpul pula adalah sebanyak RM232 juta, aset terkumpul bernilai RM915.25 juta dan pencapaian jumlah perolehan sebanyak RM569.71 juta,” katanya.
“Daripada bilangan koperasi tersebut sebanyak 230 koperasi sekolah yang aktif dengan sumbangan keseluruhan turnover sebanyak RM20.15 juta.
“Saya berharap koperasi sekolah akan terus menyumbang kepada pendapatan ekonomi negara,” katanya.
Ewon berkata, KUSKOP akan memastikan usaha-usaha berterusan dilaksanakan secara strategik bagi memastikan sektor koperasi terus kompetitif dan kekal lestari.
“Saya juga menggesa Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) menggalakkan pelajar sekolah lebih aktif dalam koperasi sekolah kerana selain mendapat pulangan keuntungan, ia juga satu platform mempelajari integriti dan kemahiran keusahawanan yang boleh membantu perkembangan pelajar.
“Ini termasuk mempelajari budaya dan strategi keusahawanan seperti perolehan modal, peluang perniagaan strategik dan bagaimana memperoleh keuntungan,” katanya.
Katanya lagi, koperasi sekolah juga perlu menjalankan transformasi dengan tidak lagi hanya menjual alat tulis semata-mata sebaliknya mewujudkan pelbagai aktiviti perniagaan lain yang lebih merangsang pertumbuhan ekonomi ahli-ahlinya,” katanya.
Turut hadir Pengerusi Yayasan Bank Rakyat Datuk Philip Lasimbang, Pengurus Besar YBR Syaiful Rizal Abdul Ghani, Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Rusli Jaafar, Pengarah SKM Sabah Matias Kundapin dan Pengetua SMK Tambulion Nasdin Pumpunga.


































