Azalina Othman Said
PETALING JAYA: Malaysia mengambil pendirian tegas dan teguh dalam melindungi kedaulatan, keselamatan serta kepentingan negara pada setiap masa selain berjanji memastikan pihak yang terlibat seperti dalam kes tuntutan Sulu dipertanggungjawabkan.
Justeru, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, dalam usaha kerajaan melawan ketidakadilan tersebut, beliau akan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Kekebalan Bidang Kuasa Negara Asing untuk dibacakan kali kedua di Parlimen.
Menurutnya, Perundangan tersebut berfungsi sebagai pelindung kepada undang-undang antara lain untuk mengelakkan kes tidak berasas seperti tuntutan Sulu yang mengancam kedaulatan dan keselamatan Malaysia, daripada timbul di masa depan.
“Kerajaan Madani ingin menegaskan dan memberi jaminan kepada semua rakyat Malaysia bahawa langkah perundangan ini bertujuan untuk melindungi Malaysia dan generasi akan datang daripada percubaan serupa dan tidak berasas yang mencabar kedaulatan negara kita.
“Dalam usaha kita ke arah pembatalan keputusan timbang tara berkenaan, memang sudah pasti Malaysia akan berjaya mengatasi ketidakadilan dalam kes Sulu yang berpunca daripada penimbang tara jahat dan pembiaya litigasinya,” katanya menerusi hantaran di Facebook miliknya hari ini.
Azalina berkata, sejak kebelakangan ini, terdapat beberapa pihak yang memainkan peranan penting di sebalik tuntutan tidak berasas Sulu malah sangat giat dalam mempertahankan tindakan tersebut melalui naratif palsu dan pandangan yang telah ditolak oleh Mahkamah Perancis, The Hague, dan juga Sepanyol.
“Kumpulan ini akhirnya telah mengakui bahawa tuntutan Sulu dibiayai oleh pembiaya litigasi pihak ketiga. Susulan pengakuan terbaharu mereka iaitu sokongan pembiayaian daripada Therium.
“Maka adalah penting bagi mereka yang terlibat untuk mendedahkan perjanjian pembiayaan yang lengkap selaras dengan prinsip keadilan dan kesaksamaan yang juga merupakan asas kepada sistem keadilan,” katanya.
Beliau berkata, perkaitan antara waris Sulu dengan kumpulan UTC yang muncul baru-baru ini serta persoalan jika pembiaya litigasi mereka adalah organisasi yang sama bukanlah isu utama buat masa ini.
“Kita sedia maklum dan sedar bahawa mereka semua adalah kumpulan yang tidak sah dan mencabar kedaulatan Malaysia atas niat jahat bermotifkan keuntungan semata-mata. Bagi Malaysia, mesejnya amat jelas, jangan cabar kedaulatan Malaysia,” katanya.


































