Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Nazifuddin Najib ketika bercakap pada sidang akhbar berhubung tawaran untuk Malaysia menjadi tuan rumah temasya Sukan Komanwel 2026 di Kompleks Sukan Tertutup Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Jalan Hang Jebat di sini hari ini. Turut serta Timbalan Ketua Kontinjen Malaysia ke Temasya Sukan Olimpik Paris 2024, Datuk Nicol David (kanan). Gambar Fauzi Baharudin
PETALING JAYA: Hak penganjuran Sukan Komanwel 2026 yang diberikan kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) oleh Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) bukanlah bersifat eksklusif memandangkan ia masih boleh dianjurkan negara lain selain Malaysia.
Ketika ini selain Malaysia, Singapura turut dilaporkan berminat untuk menganjurkan temasya Sukan Komanwel 2026 menggantikan Victoria, Australia yang menarik diri sebagai penganjur.
Menurut Utusan Malaysia, Setiausaha Agung MOM, Datuk Nazifuddin Najib berkata negara jiran itu tanpa berselindung telah menyatakan hasrat mereka untuk menganjurkan Sukan Komanwel 2026 dan Malaysia perlu bertindak supaya tidak terlepas hak penganjuran temasya tersebut.
“Saya boleh kongsikan bahawa Singapura sedang melihat (untuk menganjurkan) kerana mereka pun berpeluang menjadi tuan rumah. Ada kemungkinan kita bekerjasama dengan Singapura.
“Ada kemungkinan Singapura mengambil alih untuk menjadi penganjur dan kita terlepas peluang ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Pengurus Pasukan ke Sukan Olimpik Paris 2024 di Kompleks Sukan Tertutup MOM, semalam.
Kerajaan Victoria dilaporkan bersetuju untuk membayar AUD380 juta (RM1.8 bilion) kepada CGF kerana melanggar kontrak apabila tidak dapat menganjurkan temasya itu mengikut jadual bermula dari 17 hingga 29 Mac 2026.
Dalam pada itu, Naziffudin berkata MOM akan mengganjurkan temasya Sukan Komanwel 2026 berskala kecil dalam usaha badan induk tersebut mengurangkan kos perbelanjaan.
“Saya lihat untuk menganjurkannya tidak boleh dibandingkan dengan Victoria dan pada 1998. Kenapa? Sebab, CGF nak lihat model penganjuran yang lebih mampan supaya ia boleh digunakan untuk penganjuran akan datang.
“Kita tidak memerlukan perkampungan sukan kerana itu punca utama kos penganjuran menjadi tinggi. Kita akan gunakan model penganjuran Sukan SEA 2017 di mana kita gunakan hotel dan fasiliti yang sedia ada,” katanya lagi.
Sebagai rekod, Malaysia pernah menjadi tuan rumah bagi Sukan Komanwel 1998 dan Sukan SEA 2017 malah negara sekali lagi akan menganjurkan temasya dwitahunan itu pada 2027.




























