Seorang wanita mengalami muntah yang teruk selepas mendakwa termakan murtabak dibelinya mengandungi lipas dalam kejadian di Kuala Krai, Kelantan- Gambar Hiasan
KUALA KRAI: Seorang wanita mendakwa mengalami muntah yang teruk selepas termakan martabak ‘berintikan’ lipas semasa menjamah makanan itu untuk bersahur awal pagi semalam.
Menurut Utusan Malaysia, Azie, 30, bukan nama sebenar berkata, sebaik sahaja menyedari perkara itu dia terus muntah dan hilang selera untuk bersahur selepas itu.
Menurutnya, martabak tersebut dibeli dari sebuah gerai yang terletak di Guchil semasa mencari juadah untuk berbuka puasa.
“Buat masa ini saya ‘berehat’ seketika untuk makan martabak disebabkan masih lagi trauma dengan apa yang terjadi.
“Semasa makan murtabak, saya rasa pelik kerana ia sangat rangup . Bagaimanapun, keenakan rasa makanan itu hilang semuanya selepas tergigit seekor lipas yang berada bersama inti martabak tersebut,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Azie memberitahu, disebabkan suasana panik dia dan suami tidak sempat untuk mengambil gambar sebaliknya terus membuang makanan itu ke dalam tong sampah.
Katanya, setiap kali Ramadan dia akan berkunjung ke gerai berkenaan untuk membeli martabak kerana rasanya yang enak.
“Semasa kejadian saya membeli lima biji martabak dan setiap satunya dijual pada harga RM5.
“Jadi saya harap seluruh peniaga makanan dapat menitik beratkan soal kebersihan,” ujarnya.





























