Keadaan kenderaan dipandu mangsa yang terjunam ke dalam sungai di hulu Sungai Sedili di Jalan Kota Tinggi-Mersing, Felcra Sungai Ara selepas disyaki terbabas.
KOTA TINGGI: Seorang lelaki warga Singapura tidak sedarkan diri selepas kereta dipandu terbabas sebelum terjunam ke dalam sungai hulu Sungai Sedili di Jalan Kota Tinggi-Mersing, Felcra Sungai Ara di sini Jumaat.
Dalam kejadian kira-kira 4.24 petang itu, mangsa Christopher Lim Teck Whye, 49, tersepit di tempat duduk pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard berkenaan.
Difahamkan kereta dipandunya telah terbabas sebelum terjunam ke dalam gaung lalu masuk ke dalam sungai tersebut sehingga keretanya tenggelam separuh.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Superintenden Hussin Zamora berkata, keluarga mangsa sedang menguruskan untuk membawanya pulang ke Singapura.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya ketika dihubungi di sini.
Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Tinggi, Pegawai Bomba Kanan II Ibrahim Wahid berkata, lapan anggota dengan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dihantar ke tempat kejadian.
“Mangsa tersepit dan pihak bomba bertindak mengeluarkan mangsa serta memberi rawatan awal kepadanya. Mangsa diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) untuk rawatan selanjutnya. Operasi selesai pada pukul 5.42 petang,” ujar beliau.


































