Badrul Hisyam Alias (dua, kiri) menyerahkan kad pengenalan baharu kepada salah seorang mangsa banjir pada Program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar) JPN di Kampung Pasir Raja, Hulu Dungun, Dungun.
DUNGUN: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menerima sebanyak 638,676 permohonan penggantian kad pengenalan di seluruh negara, sejak tahun 2022.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Pengarahnya, Badrul Hisham Alias berkata, permohonan itu disebabkan kehilangan kad pengenalan akibat kecuaian, jenayah dan bencana.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 594,836 permohonan penggantian kad pengenalan adalah disebabkan faktor kecuaian pemegang kad.
“Kita dapati ramai antara pemegang kad pengenalan ini tidak serius dalam menjaga kad tersebut sedangkan kad pengenalan sangat penting untuk seorang warganegara.
“Ada antara pemohon yang kehilangan kad pengenalan disebabkan tercicir di atas motosikal dan terlupa ambil kembali kad pengenalan ketika diserahkan kepada pengawal keselamatan ketika memasuki premis bangunan,” katanya pada Program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar) JPN di Kampung Pasir Raja, di sini kelmarin.
Pada majlis tersebut, Badrul Hisham menyampaikan enam kad pengenalan baharu kepada penduduk Kampung Pasir Raja dan Kampung Shukor yang terjejas banjir Januari lalu.
Badrul Hisham berkata, selain itu, sebanyak 30,936 permohonan kad pengenalan adalah disebabkan jenayah seperti kecurian manakala bakinya iaitu 12,894 adalah disebabkan bencana seperti kebakaran, banjir dan kemalangan.
“Untuk tahun ini, dari Januari hingga Mac, kita menerima sebanyak 59,037 permohonan penggantian kad pengenalan dan daripada jumlah itu, permohonan disebabkan kecuaian adalah sebanyak 55,504 permohonan diikuti faktor bencana 2,575 permohonan dan jenyah 958 permohonan.
“Bagi tahun 2024 ini, negeri Selangor mencatat jumlah permohonan baharu tertinggi akibat kecuaian iaitu 8,482 diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (7,427 permohonan) dan Johor (7,247 permohonan),” katanya.
Dalam pada itu, Badrul Hisham berkata, pihaknya akan meneruskan program Mekar Diaspora di Amerika Syarikat pada Jun depan bagi memberi perkhidmatan dan nasihat berkaitan pembaharuan kad pengenalan, permohonan kewarganegaraan dan perkara berkaitan hal ehwal pendaftaran negara khusus untuk rakyat Malaysia di luar negara.
“Program Mekar Diaspora telah dilaksanakan sebelum ini di Jeddah, Arab Saudi pada awal Februari lalu dan sambutannya menggalakkan yang mana kita dapat membantu urusan rakyat kita di sana.
“Sebenarnya, ramai rakyat kita di luar negara yang memerlukan perkhidmatan JPN, namun mereka tidak dapat balik berurusan di Malaysia kerana memerlukan kos tinggi. Jadi, kerajaan Madani mengambil insiatif membantu mereka menerusi program ini,” katanya.


































