Seorang lelaki dipukul beberapa individu sebelum dimasukkan ke dalam sebuah kenderaan dipercayai berlaku di Taman Kota Masai, Pasir Gudang, Johor Bahru.
JOHOR BAHRU: Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun cedera parah selepas dipukul sekumpulan lelaki dalam kejadian di Taman Kota Masai, Pasir Gudang, di sini Jumaat.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd. Sohaimi Ishak berkata, mangsa mengalami pendarahan di telinga kiri dan lebam di pipi, leher, bahu serta belakang badan.
Menurut beliau, tiga suspek berusia 15 hingga 37 tahun telah ditahan hari ini bagi membantu siasatan.
“Kejadian tersebut yang turut tular di media sosial dipercayai berlaku pada pukul 5 petang, semalam (Jumaat). Berdasarkan rakaman, mangsa telah dipukul menggunakan topi keledar di kawasan perumahan, sebelum dimasukkan ke dalam kereta Proton Satria dan dibawa ke tempat lain.
“Siasatan awal mendapati, mangsa dibawa ke sebuah rumah di kawasan berhampiran dan dipukul menggunakan kayu cota serta beberapa objek lain,” katanya dalam satu kenyataan, di sini kelmarin.
Tambah Mohd. Sohaimi, seorang daripada suspek yang ditahan mempunyai 26 rekod jenayah lampau, selain turut positif dadah jenis methamphetamine.
“Motif kejadian masih dalam siasatan, dan kes disiasat mengikut Seksyen 363, Seksyen 148 dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
“Polis juga masih memburu beberapa lagi suspek dipercayai terlibat dalam kejadian tersebut,” ujarnya.
Dalam masa sama, beliau menasihatkan pengguna media sosial untuk berhenti menyebarkan rakaman video insiden berkenaan di mana-mana platform media sosial.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi pegawai penyiasat di talian 011-21010320,” tambahnya.


































