PETALING JAYA: Ibu kepada Siti Dhia Batrisyia Mohd. Chairil,12, yang dilaporkan hilang sejak Selasa lalu percaya kanak-kanak itu bertindak keluar dari rumah di Pudu dekat sini kerana berlaku perselisihan faham antara mereka.
Menurut Utusan Malaysia, ibu kepada kanak-kanak perempuan itu, Syarifah Rosfazila Syed Muhammad Fazili, 41, berkata, kali terakhir dia bersama anaknya adalah di kediaman mereka kira-kira pukul 4 petang, Selasa lalu.
Dakwanya, perselisihan faham tersebut dipercayai berlaku apabila dia menegur anak pertama dari dua beradik itu berikutan tindakannya tidak hadir ke sekolah pada hari terbabit.
“Waktu petang hari itu (Selasa) Dhia sudah balik ke rumah, kemudian saya terus tanya kenapa pagi dia tak pergi ke sekolah kerana cikgu mula WhatsApp tanya kenapa tidak hadir.
“Dhia jawab dia keluar (tidak hadir sekolah) beli barang buat kejutan untuk saya. Apabila mendengar jawapan itu, saya marah dan tegur apa yang dia buat itu salah, kenapa buat waktu hari persekolahan.
“Beberapa minit kemudian saya keluar rumah untuk nak beli barang dapur untuk sediakan lauk berbuka. Balik sahaja Dhia sudah tiada,” katanya ketika dihubungi kelmarin.
Mengulas lanjut, Syarifah berkata, dia mula merasakan tidak senang hati apabila anak perempuannya masih belum pulang ke rumah selepas waktu berbuka.
“Selalunya dia akan pergi ke rumah kawan-kawan di sekitar kawasan ini, jadi apabila esoknya masih lagi tidak pulang ke rumah, saya mula mencarinya di rumah kawan-kawan tetapi semuanya tidak tahu di mana Dhia berada.
“Sebelum ini, Dhia tak pernah keluar jauh lama-lama dan tak pernah tak balik rumah, saya memang tengok dan jaga anak saya,” katanya.
Lebih merisaukan, Syarifah berkata, terdapat rakan kepada Dhia memaklumkan anaknya mengikut seorang lelaki yang tidak dikenali didakwa dikenali melalui media sosial.
“Saya jadi risau bila ada (kawan) yang kata Dhia pergi menghala ke Ampang.
“Tambah pula ada kawan-kawan cakap Dhia pernah bercerita tentang seorang individu tetapi semua rakannya tidak pernah berjumpa orang itu, saya risau bila ada orang tak kenal ini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya mengesahkan pihak polis menerima berkaitan kehilangan kanak-kanak itu pagi, Khamis.
“Kes diklasifikasikan sebagai Orang Hilang (OH) dan tindakan mengesan sedang giat dijalankan,”katanya.
Terdahulu, tular di media sosial berkaitan seorang kanak-kanak berusia 12 tahun, Dhia Batrisyia dilaporkan tidak pulang ke rumah selepas gagal dikesan sejak Selasa lalu.


































