Pep Guardiola dikatakan paling ideal untuk menjadi jurulatih skuad England.
ENGLAND: Pep Guardiola adalah calon sesuai untuk mengendali skuad bola sepak England.
Menurut Utusan Malaysia, pandangan itu disuarakan bekas kapten Manchester City, Fernandinho yang berkata, England adalah pasukan paling sesuai dengan gaya kejurulatihan Guardiola.
“Saya rasa ada satu pasukan sesuai dengan cara kejurulatihan Guardiola iaitu England. Saya yakin dia akan menjadi jurulatih pasukan kebangsaan pada masa akan datang,” katanya.
Fernandinho meninggalkan City dua tahun lalu selepas sembilan musim bersama juara bertahan Liga Perdana Inggeris (EPL) itu, yang menyaksikan dia memenangi lima gelaran EPL, enam Piala Liga dan satu Piala FA.
Pemain Brazil itu menikmati musim-musim terbaik dalam kariernya di bawah kendalian Guardiola di Etihad.
Pengendali 53 tahun dari Sepanyol itu mempunyai kontrak sehingga tahun 2025 dan sebelum ini berhasrat untuk membimbing pasukan kebangsaan.
“Pasukan kebangsaan. Saya ingin melatih pasukan kebangsaan untuk Piala Dunia atau Kejuaraan Eropah.
“Saya tidak tahu siapa yang mahukan saya! Untuk bekerja dengan pasukan kebangsaan, mereka perlu mahukan anda, sama seperti kelab,” kata Guardiola bulan lalu.
Guardiola dianggap antara pengendali bola sepak terhebat selepas merakam kejayaan bersama Barcelona, Bayern Munich dan Man City.
Dia kini dalam usaha memburu gelaran Liga Perdana Inggeris keempat berturut-turut buat City selepas memenangi treble tahun lalu.
Beberapa negara dijangka akan berebut mendapatkan khidmatnya, tetap Fernandinho percaya pilihan terakhir Guardiola adalah di antara England, Brazil atau Belanda.
Guardiola dijangka tidak akan mengambil alih pasukan Sepanyol kerana sokongannya ke atas tuntutan kemerdekaan Catalunya.

































