Stuart Wilkin akui saingan untuk mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama Harimau Malaya sengit.
PETALING JAYA: Meskipun mempamerkan aksi cemerlang sepanjang kempen Piala Asia 2023 di Qatar Januari lalu, Stuart Wilkin mengakui tiada jaminan dalam kesebelasan utama.
Menurut Utusan Malaysia, tonggak tengah Harimau Malaya itu turut berharap dia dan rakan sepasukannya dapat mengekalkan prestasi dan kecergasan sewaktu di Piala Asia untuk menghadapi Oman dalam dua perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 pada 21 dan 26 Mac ini.
“Gembira kembali ke kem kebangsaan dan saya harap kami dapat kekalkan prestasi di Piala Asia dan juga meningkatkan kecergasan untuk dibawa ke perlawanan menentang Oman ini.
“Saya tidak mempunyai masalah dengan barisan pemain yang dipanggil kali ini dan kami semua akan bersaing hebat kerana tidak ada jaminan untuk mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama.
“Ia sangat bagus kerana kami akan mendorong satu sama lain dalam latihan sekaligus menjadikan kami bersaing untuk memastikan semua berada pada tahap yang terbaik,” katanya ketika ditemui di kem latihan pusat Harimau Malaya di Wisma FAM.
Stuart yang telah memiliki 19 kap bersama skuad kebangsaan meletakkan sasaran untuk meraih keputusan positif apabila berdepan pasukan di ranking ke-80 dunia, Oman.
Jelasnya, meraih mata dalam dua perlawanan ini akan membuka peluang lebih luas kepada Malaysia mara ke pusingan seterusnya dalam kempen kelayakan kali ini.
“Bagus sekiranya kita mengambil kesempatan atas kedudukan kita dalam Kumpulan ketika ini dan berharap boleh membawa keputusan yang baik dalam dua perlawanan ini untuk layak ke peringkat seterusnya lebih awal.
“Namun kita perlu berhati-hati dengan Oman kerana mereka adalah lawan yang sukar tetapi dalam masa yang sama kami perlu fokus kepada persiapan pasukan dan mendengar arahan daripada jurulatih,” ujarnya.


































