Aaron Chia-Soh Wooi Yik akan berdepan rakan senegara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani dalam All England di Arena Birmingham, kelmarin.
PETALING JAYA: Pertembungan sesama sendiri membabitkan beregu lelaki dan wanita negara di peringkat 32 terbaik, menyaksikan Malaysia sudahpun memiliki dua wakil mara ke pusingan kedua pada Kejohanan Badminton All England di Arena Birmingham, England, kelmarin.
Bagi saingan beregu lelaki, pasangan No. 5 dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik bakal berdepan rakan senegara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani yang menghuni kedudukan ke-19 dunia.
Untuk aksi beregu wanita, gandingan No. 15 dunia, Pearly Tan-M Thinaah pula akan menghitung pertemuan dengan pasangan profesional Malaysia, Vivian Hoo-Lim Chiew Sien yang menghuni ranking ke-36 dunia.
Atas kertas Aaron-Wooi Yik dan Pearly-Thinaah boleh dikatakan akan menjadi pasangan yang memiliki kelebihan daripada segenap sudut untuk mara ke pusingan kedua.
Selaku beregu No. 1 negara, Aaron-Wooi Yik memegang rekod pertemuan 5-1 ke atas Sze Fei-Izzuddin, manakala, Pearly-Thinaah mencatat dua kemenangan tanpa balas berbanding Vivian-Chiew Sien.
Bagi Sze Fei-Izzuddin, satu-satunya kemenangan yang mereka catat ke atas Aaron-Wooi Yik ialah pada Terbuka Jerman, lima tahun lalu dan sejak itu, mereka tidak mampu lagi mengulangi pencapaian baik tersebut.
Tanpa berpihak kepada mana-mana beregu, apa yang menjadi kepastian Malaysia sudahpun mempunyai dua wakil yang akan beraksi pada peringkat 16 terbaik.
Selain empat wakil negara yang bertembung sesama sendiri, beregu profesional Malaysia, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi terpaksa mengharungi ujian getir seawal pusingan pertama apabila pasangan No. 8 dunia, Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi dari China menjadi lawan mereka, kelmarin.
Yew Sin-Ee Yi yang kini jatuh ke tangga No. 12 dunia berdepan kesukaran untuk memburu tempat ke Sukan Olimpik, Paris, Julai ini, yang semakin jauh daripada gapaian mereka.
Menempatkan kembali kedudukan mereka ke dalam kelompok lapan terbaik dunia kini menjadi satu misi mustahil untuk direalisasikan selepas Ee Yi kembali daripada kecederaan awal tahun ini.
Sementara itu, dalam saingan beregu campuran pula, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing akan berdepan pasangan Perancis, Thom Gicquel-Delphine Delrue, manakala, Goh Soon Huat-Shevon Lai menentang Chang Ko Chi-Lee Chih Chen dari Taiwan.
Tiga lagi wakil negara iaitu Goh Jin Wei, Man Wei Chong-Tee Kai Wun dan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei hanya akan memulakan aksi mereka, hari ini.
Jin Wei yang merupakan wakil tunggal Malaysia dalam perseorangan wanita akan bertemu jaguh No. 6 dunia, He Bing Jiao dari China.
Dalam aksi beregu pula, Man Wei Chong-Tee Kai Wun akan bertemu pasangan Jepun, Akira Koga-Taichi Saito dan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei menentang Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai dari Thailand.


































