SEREMBAN: Baru sahaja sehari sesi persekolahan bermula, timbul pula kejadian ibu bapa ditipu oleh penyedia perkhidmatan van sekolah.
Modus operandinya mudah, pelaku meminta bayaran pendahuluan daripada mangsa yang terdiri daripada ibu bapa dan penjaga yang terdesak mencari perkhidmatan penghantaran anak masing-masing ke sekolah.
Menurut Utusan Malaysia, seorang suri rumah, Norfaralina Kamarul Hanim, 30, memberitahu, dia terpedaya dengan tawaran iklan khidmat tersebut yang diperolehnya menerusi Facebook.
“Saya baru sahaja berpindah ke Seremban dari Kemaman, Terengganu hujung tahun lalu. Saya mencari di Facebook bagi perkhidmatan van sekolah untuk menghantar anak saya ke sekolah, kemudian saya terjumpa satu iklan dan minta saya menekan pautan WhatsApp yang diberikan.
“Saya kemudian berhubung dengan individu yang meminta saya membayar sebanyak RM130 yang dakwanya RM90 untuk bayaran bulanan dan bakinya untuk insuran.
“Dia ada maklumkan akan memasukkan saya dalam satu kumpulan WhatsApp namun sehingga semalam tiada apa-apa perkembangan. Kemudian saya cuba menghubungi dia semula namun gagal, semalam saya memuat naik hantaran di satu kumpuan Facebook dan rupa-rupanya ramai juga yang menerima nasib seperti saya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.
Pekerja sebuah universiti awam, Wan Mastura Wan Ismail, 37, juga memberitahu telah terpedaya dengan tawaran iklan menerusi nombor telefon yang sama.
“Selepas saya berhubung dengannya menerusi WhatsApp, individu itu mendesak saya untuk segera membuat pembayaran kononnya untuk slot terakhir dan perlu disahkan atau dia memberikan tempat itu kepada orang lain.
“Sebabkan saya sangat memerlukan khidmat tersebut, saya terus buat pembayaran secara dalam talian tanpa berfikir panjang. Selepas saya buat pembayaran, individu berkenaan terus senyap dan kemudian tidak dapat dihubungi sehingga semalam,” katanya.
Sementara itu, Presiden Gabungan Persatuan Bas Sekolah Malaysia (GPBSM), Mohd. Rofik Mohd. Yusof menasihatkan ibu bapa untuk bersemuka dengan pengusaha bagi tujuan mencari perkhidmatan bas dan van sekolah.
“Pastikan pengusaha bas sekolah ini tulen, bukan hanya berurusan menerusi WhatsApp atau media-media sosial, sila dapatkan alamat pengusaha ini, dapatkan nombor pendaftaran kenderaan malah boleh juga semak dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) adakah ia bas sekolah atau kenderaan persendirian,” ujarnya.

































