Liga Bolasepak Malaysia akan mula menggunakan video bantuan pengadil (VAR) seperti di Eropah sekali gus menyumbang kepada peningkatan kos penganjuran.
KUALA LUMPUR: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mendedahkan saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2024/2025 bukanlah murah dan kos keseluruhan operasi bakal melebihi angka RM50 juta.
Kos tersebut turut merangkumi pengagihan hak penyiaran kepada setiap pasukan yang menyertai Liga Super selain turut membabitkan beberapa perbelanjaan lain antaranya logistik dan pengurusan.
Peningkatan kos berbanding musim sebelum ini juga disebabkan MFL akan mula menggunakan Video Bantuan Pengadil (VAR) pada setiap perlawanan Liga Super nanti.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Datuk Stuart Ramalingam menjelaskan bahawa kos keseluruhan operasi itu tidaklah jauh berbeza berbanding musim lalu.
Stuart bagaimanapun mengakui terdapat peningkatan menyebabkan pihaknya perlu mencari lebih banyak dana bag menampung perbelanjaan tambahan itu.
“Jika dilihat secara keseluruhan kos operasi termasuk dengan pengagihan hak penyiaran dalam tempoh setahun mencecah RM50 juta.
“Namun tahun ini boleh dikatakan lebih tinggi berbanding musim lalu kerana kita mula menggunakan VAR dan itu juga mencecah jutaan ringgit,” katanya.
Penggunaan VAR di Liga M pada musim ini diumumkan MFL sebelum ini, akan menelan kos RM9.7 juta sekali gus menjadi penambahan kepada kos operasi liga musim ini.
Tambah Stuart, jumlah terbabit merangkumi kos penyediaan bagi tahun pertama dengan badan pengendali liga itu bakal menggunakan trak bergerak untuk operasi VAR yang akan diletakkan di stadium pada hari perlawanan.
Katanya, pendekatan terbabit bakal menelan belanja sehingga tiga kali berbanding pelaksanaan biasa, namun ia disifatkan sebagai langkah penyelesaian terbaik bagi mengatasi halangan seperti kekuatan internet dan penyediaan infrastruktur di stadium.
Selain itu, Stuart berkata, pihaknya akan berusaha mencari lebih banyak penaja dalam usaha menampung peningkatan kos berkenaan dan ketika ini inisiatif itu berjalan lancar tanpa sebarang masalah.


































