Mohamad Sabu (tiga kiri) menyempurnakan simbolik perasmian pameran sempena SIFEX 2024 di Kota Kinabalu hari ini.
KOTA KINABALU: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan bersedia mengimport lebih banyak bekalan ayam menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti.
Menurut Utusan Malaysia, Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pada masa ini bekalan ayam di Sabah mencukupi namun, sekiranya terdapat keperluan untuk menambah bekalan sedia ada dengan mengimport ayam dari negara lain.
“Kita memang sudah ada persefahaman dengan negara-negara yang mengeksport ayam seperti China dan Thailand,” katanya semasa mengulas mengenai jaminan bekalan ayam mencukupi menjelang musim perayaan.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Ekspo Makanan Antarabangsa Sabah (SIFEX) 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), hari ini.
Beliau turut memberi jaminan bekalan telur di negeri ini juga mencukupi.
Justeru, beliau meminta kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup bagi memastikan bekalan sentiasa ada di pasaran.
Terdahulu dalam ucapan perasmiannya, Mohamad berkata, pada masa ini, kerajaan terpaksa membelanjakan lebih RM70 bilion untuk mengimport makanan sedangkan jumlah makanan yang dieksport hanya RM40 bilion.
Imbangan import dan eksport negara terlalu besar maka, usaha perlu ambil bagi membolehkan negara mencapai tahap sara diri bagi pengeluaran makanan.
“Jika dilihat kita membelanjakan RM1.5 bilion setahun bagi pengimportan bawang merah dan ia menyebabkan banyak aliran wang keluar.
“Justeru, kerajaan sedang melaksanakan penanaman bawang merah di Perlis, Perak dan Kelantan dan menjelang tahun 2030, kita berharap dapat menyediakan 30 peratus bawang merah untuk menampung bekalan tempatan,” katanya.
Mengulas lanjut katanya, kementerian itu juga berhasrat untuk melihat produk tempatan menembusi pasaran antarabangsa.
“Dari segi eksport, produk makanan proses terutamanya yang berstatus halal Malaysia telah berjaya di lebih 150 negara yang mencakupi 1.8 bilion umat Islam global.
“Saya percaya pasaran ini masih luas dan dengan usaha yang dilipat gandakan, tidak mustahil satu hari nanti produk tempatan berstatus Halal Malaysia bukan sahaja hanya tertumpu di negara majoriti Islam malah turut menjadi produk pilihan dan mempunyai permintaan yang tinggi di seluruh dunia,” katanya.
































