Skuad Harimau Malaya ketika menjalani latihan di Wisma FAM pada Januari lalu.
PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu segera mencari lawan untuk menguji ‘taring’ Harimau Malaya sebelum anak-anak buah Kim Pan Gon berdepan Oman dalam dua aksi kelayakan Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.
Faktor berehat panjang hampir semua pemain harimau Malaya dikhuatiri akan menjejaskan keserasian pemain kebangsaan, selain mereka juga tidak terlibat dalam sebarang perlawanan kompetitif ekoran Liga Malaysia (Liga M) bermula Mei depan.
Sehubungan itu, ramai yang bimbang Harimau Malaya berkemungkinan berdepan kesukaran terutamanya dalam melakukan persiapan bagi menghadapi Oman pada 22 Mac ini di tempat lawan sebelum bertemu sekali lagi di Kuala Lumpur pada 26 Mac.
Menurut Utusan Malaysia, bekas pengendali skuad kebangsaan, Wan Jamak Wan Hassan juga menyifatkan ketiadaan perlawanan persahabatan mampu menyukarkan Pan Gon dalam mencari keserasian antara pemain.
Wan Jamak berkata, sekiranya tiada pilihan, Harimau Malaya boleh mencari pasukan dari negara jiran untuk menguji anak-anak buah Pan Gon kerana mereka sudah berehat agak lama ekoran saingan domestik masih lagi berehat.
“Saya percaya FAM mempunyai hubungan yang baik dengan negara serantau dan mungkin FAM boleh dapatkan pasukan seperti Thailand, Indonesia atau Vietnam untuk mengadakan perlawanan persahabatan.
“Ataupun, mungkin FAM boleh mendapatkan kelab dari negara jiran seperti Buriram United memandangkan liga negara kita masih berehat.
“Persediaan seperti ini penting bagi memastikan tahap kecergasan pemain di tahap maksimum serta membantu jurulatih mencari posisi terbaik pemain. Jadi, percubaan perlu dibuat,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Ketika ini, Oman yang dibimbing jurulatih baharu, Jaroslav Silhavy tidak berdepan masalah untuk membentuk pasukan terbaik kerana rata-rata pemainnya sedang aktif beraksi di liga mereka.
Untuk rekod, Malaysia sedang mendahului Kumpulan D dengan mengumpul enam mata setelah menewaskan Kyrgyzstan (4-3) dan Taiwan (1-0) pada November tahun lalu.
































