BERUAS: Pasangan suami isteri warga emas ditemui mati dalam sebuah kebun kelapa sawit di Pantai Remis, dekat sini, dipercayai dibunuh oleh ahli keluarga terdekat, petang kelmarin.
Kedua-duanya yang berusia 74 tahun ditemui dalam keadaan cedera parah pada kepala dan muka dipercayai dilibas dengan sabit sawit.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah berkata, polis menerima aduan daripada seorang lelaki mengenai kejadian itu kira-kira pukul 3.30 petang.
“Lelaki itu memaklumkan bapa saudaranya telah bergaduh dengan adik lelakinya bersama isteri yang juga adik ipar pengadu di sebuah kebun sawit di Pantai Remis,” katanya di sini malam tadi.
Menurutnya, kejadian itu disyaki berpunca daripada perebutan harta yang menyebabkan berlakunya pergaduhan antara kedua-dua mangsa dan suspek.
Beliau memaklumkan mayat kedua-dua mangsa yang ditemui dalam kebun sawit itu dihantar ke Unit Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, untuk bedah siasat.
Jelasnya, suspek yang berusia 61 tahun telah berjaya ditahan dan akan direman untuk disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes itu agar menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung, Asisten Superintendan Ashazarul Khairi Ab. Hamid, di talian 012-5087026 untuk membantu siasatan.

































