KUALA LUMPUR: Rang Undang-undang bagi meningkatkan keselamatan digital turut mengambil kira tindakan sewajarnya terhadap institusi perbankan yang cuai bagi jenayah penipuan dalam talian.
Menurut Utusan Malaysia, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), M. Kulasegaran berkata, bank perlu bertanggungjawab dan tidak boleh mengelak daripada diambil tindakan sekiranya menjadi punca kepada kes penipuan dalam talian.
“RUU yang sedang dikaji ini merangkumi semua aspek termasuk yang diperkatakan (Ahli Parlimen) Kota Melaka (tindakan terhadap bank dalam transaksi berkaitan penipuan dalam talian),” katanya semasa sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat kelmarin.
Beliau menjawab soalan tambahan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) sama ada RUU yang dalam penelitian turut memastikan tindakan tegas dikenakan kepada institusi perbankan.
Ia sekiranya wujud sebarang unsur kecuaian sehingga menyebabkan berlakunya transaksi berkaitan penipuan.
Terdahulu, Kulasegaran berkata, sebanyak 107,716 kes penipuan dalam talian melibatkan kerugian sebanyak RM3.2 bilion dilaporkan sepanjang 2020 hingga 2023.
Justeru, beliau berkata, kerajaan tidak memandang rendah terhadap isu penipuan dalam talian, atau online scam.
Menurutnya, tindakan-tindakan menyeluruh yang telah dan sedang diambil oleh kerajaan dalam hal berkenaan seperti penubuhan Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC).
“Kerajaan kini sedang dalam proses merangka satu akta baharu yang merangkumi peruntukan berhubung dengan tatacara dan penguatkuasaan kill switch untuk meningkatkan keselamatan digital.
“Ia selaras dengan keperluan semasa serta perkembangan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dan kes jenayah siber yang semakin meningkat,” katanya.






























