Hasli Ikhwan Arif Zul Hasli yang tular dalam media sosial sebagai ‘Hot Daddy’ hadir ke mahkamah bagi sebutan semula kes video lucah di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.
KUALA LUMPUR: Seorang lelaki yang tular dengan gelaran `Hot Daddy’ di laman sosial X didakwa sekali lagi di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan menjual rakaman video lucah dua bulan lalu.
Turut didakwa atas pertuduhan sama ialah dua rakan wanitanya.
Menurut Utusan Malaysia, tertuduh-tertuduh, Hasli Ikhwan Arif Zul Hasli,32; Norhidayah Mahadi, 24, dan Norshazrina Md. Zamri, 27, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Nurul Izzah Shaharuddin.
Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa bersama-sama menjual rakaman video lucah bagi maksud menunjukkan secara awam di antara pukul 11.47 malam dan 11.54 malam, 15 Januari lalu di Pejabat Siasatan Jenayah (D7) Bukit Aman, di sini.
Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, Hasli Ikhwan dan Norhidayah turut didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas satu lagi pertuduhan iaitu memiliki bahan lucah yang bertentangan dengan kesopanan awam.
Perbuatan itu didakwa dilakukan pada pukul 4 petang, 22 Januari lalu di pejabat Siasatan Jenayah (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju di sini.
Bagi kesalahan ini, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 5(1)(a) Akta Penapisan Filem 2002 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM10,000 dan maksimum RM50,00 atau dipenjara tidak lebih lima tahun atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.
Tertuduh Ikhwan Arif dan Norhidayah masing-masing diikat jamin RM9,000 bagi dua pertuduhan iaitu di Mahkamah Majistret dan Sesyen manakala tertuduh Norshazrina dibenarkan dengan jaminan RM4,000 bagi satu pertuduhan di Mahkamah Majistret.
Pada prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurilya Ellyna Nor Azmal dan Sheryn Yong Shi Yee manakala kesemua tertuduh diwakili peguam-peguam bela, Mohd. Faris Abrar Othman, Mohammed Hissham Ramdzan dan Nurul Aeir Muhammad Harvian Kamar.
Kesemua kes yang baharu dipertuduhkan hari ini ditetapkan untuk sebutan semula pada 22 April ini.
Pada 22 Januari lalu, Hasli Ikhwan, Norhidayah dan Norshazrina didakwa atas pertuduhan membuat pengiklanan khidmat persundalan dalam aplikasi X (dahulu dikenali sebagai Twitter).
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama membuat pengiklanan khidmat persundalannya menggunakan aplikasi X dimana orang yang munasabah akan memahaminya sebagai khidmat persundalan.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 372(1)(e) Kanun Keseksaan dan dibaca di bawah Seksyen 34 akta sama yang memperuntukkan penjara maksimum 15 tahun dan dengan sebatan dan denda jika sabit kesalahan.
Pada 18 Januari lalu, media melaporkan ketiga-tiga mereka ditahan sebuah rumah di Kampung Janda Baik, Bentong, Pahang.
Lelaki itu dikesan melalui hasil maklumat dan risikan bahagian D7, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman mengenai kegiatan mempromosikan aktiviti seks dirinya sendiri yang dirakam dan dijual untuk tontonan di platform Telegram.

































