JERANTUT: Seorang pekerja Alam Flora di daerah ini, G. Muniammah, 57, patah tulang belikat apabila motosikal ditungganginya dihempap papan iklan yang tiba-tiba jatuh di persimpangan lampu isyarat Tok Gajah, Jalan Persekutuan berdekatan Masjid Tengku Mahkota Abdullah di sini.
Dalam kejadian pukul 3.27 petang semalam, wanita itu yang menunggang motosikal jenis Yamaha dihempap papan iklan yang melayang akibat diterbangkan angin selepas melepasi isyarat lampu hijau di persimpangan tersebut.
Berikutan kejadian itu, tular video di media sosial menerusi rakaman kamera papan pemuka sebuah kenderaan yang kebetulan mengekori mangsa.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintenden Azman Mat Kamis berkata, kejadian itu tidak dimaklumkan kepada polis dan diketahui setelah tular di media sosial.
“Kejadian yang tular ini terkena pada seorang penunggang motosikal yang dihempap papan tanda iklan yang terbangkan setelah ditiup angin kencang.
“Hasil siasatan, kejadian itu berlaku ketika hujan lebat dan angin kencang. Kebetulan mangsa melepasi lampu isyarat hijau di Persimpangan Lampu Isyarat Tok Gajah, tiba-tiba papan iklan berkenaan tercabut dan ‘terbang’ akibat ditiup angin kencang lalu menghempap mangsa,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini hari ini.
Menurut Azman, akibat dihempap papan itu, mangsa patah tulang belikat, lebam di dahi dan mata serta menjalani rawatan lanjut di Hospital Jerantut.
Katanya, keluarga mangsa kemudiannya hadir ke IPD Jerantut untuk membuat laporan selepas wanita berkenaan mendapatkan rawatan di hospital.
“Siasatan tidak dijalankan oleh Bahagian Trafik di sini kerana kejadian ini bukan kemalangan jalan raya, tetapi merupakan satu bencana,” ujarnya.