Kim Pan Gon perlu merencanakan stratgei terbaik untuk memastikan kemenangan berpihak kepada Harimau Malaya dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.
PETALING JAYA: Harimau Malaya kini di berada di zon kritikal untuk berdepan Oman dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 ekoran persiapan yang dilihat sangat singkat.
Menurut Utusan Malaysia, pengendali Harimau Malaya, Kim Pan Gon semalam mengeluarkan senarai 33 pemain yang dipanggil untuk menyertai kem latihan pusat yang akan bermula pada 8 Mac ini.
Bagaimanapun, sebahagian pemain yang dipanggil diberikan kelonggaran untuk melaporkan diri pada 15 Mac dan latihan awal hanya disertai oleh pemain skuad bawah 23 (B-23) kebangsaan.
Penganalisis sukan, Datuk Pekan Ramli berkata, Harimau Malaya kini berada dalam zon kritikal kerana pemain berehat dalam tempoh yang lama selepas saingan Piala Asia baru-baru ini.
“Saya agak risau dengan latihan kali ini. Tempoh rehat sangat lama selepas Piala Asia. Selepas sebulan tamat saingan baru hendak buat panggilan ke kem latihan.
“Sepatutnya apa yang boleh dibuat adalah selepas saingan (Piala Asia) mereka sepatutnya menjalani latihan seperti biasa.
“Menentang Oman hanya kurang dari tiga minggu. Saya rasa masa yang ada ini tidak cukup untuk mereka berlatih. Saya rasa mereka rugi berehat lama selepas Piala Asia,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Selain itu, Pekan turut menggesa kesemua 33 pemain yang dipanggil menyertai kem latihan agar mengutamakan dan menghormati panggilan menyertai kebangsaan.
Katanya, panggilan kebangsaan merupakan satu penghormatan tertinggi dan tidak perlu alasan lain yang perlu dikemukakan untuk melengahkan kehadiran untuk sertai kem latihan.
“Panggilan kebangsaan perlu menjadi keutamaan berbanding bermain di kelab masing-masing. Keutamaan yang ini perlu ada dalam setiap pasukan dan tiada alasan mereka untuk lapor diri lewat,” katanya.






























