Anwar Ibrahim ketika merasmikan penutup KEB 2024 di Putrajaya.
PUTRAJAYA: Kerajaan mengumumkan tujuh inisiatif baharu bagi memperkasakan ekonomi bumiputera di negara ini pada majlis penutup Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 (KEB 2024) di sini, kelmarin.
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia termasuk meluluskan dana permulaan RM1 bilion bagi melahirkan usahawan baharu dalam kalangan bumiputera.
Beliau berkata, usaha melahirkan usahawan bumiputera itu akan dipertanggungjawabkan oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat berkaitan pelaburan kerajaan (GLIC).
“Kerajaaan harus memberi dokongan dan sokongan bagi mencipta lebih ramai usahawan bumiputera seperti Aerodyne, Les Copaque dan Animosta usahawan muda Khairul Aming,” katanya ketika berucap pada majlis penutup KEB 2024 di sini, kelmarin.
Katanya, kerajaan juga bersetuju mewujudkan Tabung Wakaf MARA Madani dengan sasaran dana berjumlah RM1 bilion dalam tempoh dua tahun yang akan diterajui oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA).
Anwar berkata, Tabung Wakaf MARA Madani itu akan dilaksanakan oleh Yayasan Pelajaran MARA dan ia dijangka akan memberi manfaat kepada 70.1 peratus rakyat Bumiputera.
“Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim juga berkenan menjadi penaung kepada sistem wakaf ini dan prestasi Wakaf MARA Madani akan dilaporkan secara berkala kepada Majlis Raja-Raja Melayu,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, kerajaan turut bersetuju melanjutkan potongan cukai bagi wakaf berasaskan saham seperti Wakaf ASNB dan Waqaf An-Nur di bawah Johor Corp.
Selain itu, katanya, kerajaan juga bersetuju menyediakan Skim Perumahan MADANI di tanah rizab Melayu dengan sasaran membangunkan 2,500 unit rumah mampu milik dalam kadar segera.
“Kerajaan juga akan memastikan pemilikan sejumlah 200 ekar tanah kerajaan, termasuk 50 ekar tanah di Bandar Malaysia kekal dimiliki orang Melayu bagi menjamin ketersediaan perumahan mampu milik untuk Melayu supaya kekal di kawasan pusat bandar,” katanya.
Sebagai tambahan kepada menyokong institusi TVET tempatan, Anwar berkata, kerajaan dengan kerjasama GLIC, GLC serta badan-badan swasta terpilih memberi komitmen melatih seramai 100,000 pelatih TVET dalam tempoh lima tahun termasuk menyediakan tawaran pekerjaan dengan sasaran gaji sekurang-kurangnya RM3,500 sebulan.
“Syarikat yang terlibat termasuk Petronas (industri minyak dan gas), Sime Darby (perladangan), MRCB (pembinaan), TNB (tenaga boleh baharu) dan Telekom Malaysia (digital).
“Maka, saya seru semua pihak untuk merangkul seluruh kekuatan dan tenaga, bagi kita mencapai sasaran untuk melatih serta menyediakan peluang pekerjaan dengan gaji setimpal kepada 100,000 pelatih,” katanya.
Anwar berkata, kerajaan juga akan mengkhususkan dana pembiayaan kredit mikro bumiputera sehingga RM1 bilion melalui institusi Kewangan Pembangunan seperti BSN, Agrobank, dan TEKUN Nasional.
Sementara itu, Anwar berkata, kerajaan juga bersetuju mewujudkan Suruhanjaya Pekerja Gig bagi melindungi hak pekerja gig yang kini mencecah seramai 1.12 juta orang, terutama dari segi keperluan perlindungan sosial, pertikaian kontrak serta kemajuan kerjaya.
“Langkah ini adalah perlu mengambil kira semakin ramai dalam kalangan belia bumiputera yang melibatkan diri dalam pekerjaan gig,” katanya.
Bagi mendukung pembangunan vendor tempatan pula, Anwar berkata, kerajaan akan menambah baik insentif cukai serta menyediakan tabung geran padanan sebanyak RM100 juta bagi menggalakkan lebih banyak syarikat swasta melaksanakan program pembangunan vendor.
“Usaha ini dijangka dapat memanfaatkan sehingga 10,000 PMKS tempatan terutama usahawan bumiputera selain ia turut juga dibuka untuk membimbing misalnya PMKS kaum India,” katanya.
Jelasnya lagi, bagi memartabat dan menyokong hasil seni pengusaha tempatan, Anwar berkata, bermula hari ini semua jabatan dan agensi kerajaan serta GLC hanya dibenarkan membeli sebagai cenderahati hasil seni yang diusahakan oleh pengusaha bumiputera.
Anwar berkata, pemantauan inisiatif ini akan dilakukan oleh Majlis Ekonomi Bumiputera yang dipengerusikannya.






























