Ramli Mohamed Yoosuf
PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) merancang mewujudkan satu bahagian baharu di bawah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) yang hanya memberi fokus kepada siasatan jenayah siber.
Menurut Utusan Malaysia, Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pasukan ini akan memberi tumpuan kepada jenayah siber dan digital yang semakin mengancam rakyat dengan pelbagai bentuk penipuan siber seperti dark web dan kripto.
Menurut beliau, berdasarkan kes-kes, jenayah siber memerlukan siasatan yang mendalam terutamanya dari sudut forensik dalam setiap aduan.
“Sudah ada dalam perancangan kita (JSJK) untuk mewujudkan satu bahagian baru yang akan beri fokus kepada jenayah siber sahaja. Ini kerana, kita (polis) tidak boleh lari lagi daripada kepesatan teknologi yang semakin meluas dan jika tidak dibuat sesuatu kita akan tertinggal.
“Di dalam Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 (KEB 2024) juga telah ada yang menekankan penggunaan teknologi dan semestinya semua senada ke satu arah yang sama dalam melihat keberkesanan menangani jenayah siber ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini Jumaat.
Ramli berkata, pasukan sedia ada ketika ini sememangnya menjalankan siasatan, penangkapan, pendakwaan selain pencegahan jenayah siber namun tugas mereka bercampur baur atau bertindih dengan tugasan yang lain.
Kata beliau, penubuhan bahagian baharu di dalam JSJK itu telah dibincangkan di peringkat tertinggi PDRM termasuk Ketua Polis Negara dan Timbalan Ketua Polis Negara untuk dibentangkan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam memperkasakan siasatan dan pencegahan khususnya jenayah siber.
“Pasukan baharu ini nanti berkemungkinan memerlukan 500 perjawatan yang berpengalaman dalam bidang siber dan teknologi. Kita akan guna kepakaran dalaman selain berkolaborasi dengan agensi lain,” jelasnya.
Dalam pada itu, Ramli berkata, penubuhan bahagian siber ini juga adalah selari dengan perkembangan perundangan yang ada ketika ini juga.
“Seperti kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dan Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil yang komited dalam cadangan penggubalan undang-undang baharu itu bagi menangani isu berkaitan jenayah siber,” katanya.
Kelmarin Utusan Malaysia melaporkan Jabatan siasatan jenayah siber perlu diwujudkan di bawah PDRM bagi menangani isu keselamatan siber yang semakin berleluasa.
Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Siraj Jalil berkata, jabatan siasatan jenayah siber boleh mempertingkatkan dan mempercepatkan fungsi PDRM dalam isu keselamatan siber.
Katanya, mewujudkan satu jabatan jenayah siber ketika ini dapat mengurangkan beban yang ditanggung di bawah JSJK berkaitan jenayah siber.
Jabatan jenayah siber akan lebih memfokuskan kepada teknologi komunikasi maklumat (ICT) dan mangsa yang terlibat dengan jenayah siber boleh terus berurusan dengan pegawai penyiasat yang dilantik setiap di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD).
Beliau mengulas mengenai undang-undang bagi menangani jenayah penipuan dalam talian disifatkan seperti ‘basikal buruk’ yang menuntut kepada pindaan segera.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kerajaan sedang merangka undang-undang baharu merangkumi peruntukan berhubung tatacara dan penguatkuasaan kill switch bagi meningkatkan keselamatan digital susulan ancaman jenayah penipuan.






























