Anggota bomba mengusung salah seorang kanak-kanak yang ditemukan lemas ketika mandi di Pantai Teluk Lipat, Dungun, petang kelmarin.
DUNGUN: Keseronokan tiga kanak-kanak menghabiskan cuti persekolahan dengan mandi di Pantai Teluk Lipat, dekat sini, bertukar tragedi apabila dua daripadanya ditemukan lemas, petang kelmarin.
Mayat mangsa, Muhammad Danish Mikail Abdullah, 9, ditemukan kira-kira pukul 4.55 petang oleh pasukan penyelamat pada jarak 150 meter dari lokasi dia dipercayai dihanyutkan ombak.
Mayat rakannya, Mohammad Atiff Farrduqi Zainuddin, 11, ditemukan kira-kira pukul 6.25 petang pada jarak 300 meter dari lokasi kejadian.
Bagaimanapun, seorang lagi rakan mereka,
Ahmad Aril Farhan Mat Zain yang juga berusia 11 tahun sempat menyelamatkan diri dengan berenang ke tepi pantai.
Ketiga-tiga rakan tersebut merupakan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Omar di sini.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Maizura Abdul Kadir berkata, difahamkan ketiga-tiga kanak-kanak itu yang tinggal di Kampung Alor Tempoyak di sini mandi di pantai tersebut kira-kira pukul 2.30 petang sebelum lemas setengah jam kemudian.
“Ketiga-tiga mangsa dikatakan hanyut selepas dipukul ombak ketika air pasang, namun salah seorang sempat menyelamatkan diri,” katanya ketika ditemui di sini, kelmarin
Maizura memberitahu, Ahmad Aril Farhan yang menyedari kedua-dua rakannya hanyut bertindak menghubungi pasukan penyelamat meminta bantuan.
Tambahnya, operasi mencari dan menyelamat kedua-dua mangsa melibatkan pelbagai agensi penyelamat termasuk polis, Bomba dan Penyelamat dan Rela.
“Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk tindakan lanjut,” katanya.

































