Tengku Muhammad Taufik Tengku Kamadjaja Aziz
PUTRAJAYA: Sektor minyak dan gas akan kekal relevan walaupun negara dalam tempoh peralihan ke tenaga boleh diperbaharui (TBB) kerana masih ada kesenjangan antara keperluan, kata Petroliam Nasional Berhad (Petronas).
Menurut Utusan Malaysia, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Kamadjaja Aziz berkata, apa yang boleh dilakukan oleh Petronas adalah mengubah cara pengeluaran kerana tenaga tersebut masih diperlukan dalam tempoh peralihan ini.
Katanya, terdapat faktor-faktor geopolitik yang mana bekalan akan terganggu, jadi kedaulatan tenaga negara ini harus dipertahankan.
“Kita belum ada sistem baharu lagi, jadi kita masih memerlukan minyak dan gas. Kalau tak ada gas dalam ‘energy mix’ akan mengganggu gugat kebolehlaksanaan mana-mana dasar tenaga,” katanya pada Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 (KEB 2024) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, Jumaat.
Tengku Muhammad Taufik berkata, peralihan tenaga adalah cabaran sejagat yang tidak boleh diletakkan pada satu pemain industri sahaja tetapi memerlukan kerjasama semua termasuk pengawal selia dan pelbagai lagi.
“Saya juga berharap industri kewangan memainkan peranan dan lebih cergas lagi dalam sesi libat urus kerana terdapat keperluan dalam pembiayaan dan pelaburan supaya ia terbuka bukan hanya golongan bumiputera tetapi kepada rakyat Malaysia amnya,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi, Tenaga Nasional Berhad (TNB), Datuk Ir. Megat Jalaluddin Megat Hassan berkata, selain daripada pembiayaan, syarikat bumiputera juga memerlukan akses kepada teknologi untuk memanfaatkan sektor TBB.
“Rentetan daripada Covid-19, kita lihat ada gangguan daripada rantaian bekalan dan banyak kontraktor bumiputera yang terkesan dengan gangguan tersebut.
“Saya lihat sektor pembuatan negara juga menghadapi cabaran besar dan memerlukan sistem sokongan. Jika kita tidak bentuk satu polisi untuk industri pembuatan tempatan, kemungkinan besar akan hilang kepada syarikat-syarikat asing,” ujarnya.

































