CYBERJAYA: Lebih satu juta atau 71 peratus daripada 1.5 juta syarikat yang berdaftar dikesan mengelak daripada membayar cukai kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, syarikat itu termasuk syarikat yang berstatus ‘gergasi’ dan ‘naga’ yang dimiliki oleh individu kaya-raya.
“Bilangan syarikat yang membayar cukai di negara ini terlalu rendah iaitu sekitar 435,000 syarikat daripada 1.5 juta syarikat yang berdaftar.
“Ini bermakna kurang daripada 29 peratus sahaja syarikat berdaftar yang membayar cukai,” kata beliau ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Hasil 2024 di Menara Hasil di sini semalam.
Justeru, Perdana Menteri mahu LHDN supaya lebih tegas dalam mengutip hasil cukai tanpa mengira kedudukan syarikat atau pangkat individu.
“Ada keperluan untuk kita lebih tegas dan mesti ada semangat serta kesungguhan, tidak kira kedudukannya (syarikat yang lari cukai).
“Saya selalu sebut, saudara bertugas jalankan tanggungjawab, apakah dia Ahmad atau Ah Seng atau Tan Sri atau Tun, saya tidak kira.
“Saudara (LHDN) hanya kena kira dia bayar cukai atau tidak, kalau tidak bayar sila geledah dan ambil tindakan, barulah hebat saudara,’’ kata beliau.
Anwar berkata, apabila jumlah kutipan cukai tinggi, diuruskan pula dengan konsep Madani, tata kelola yang baik, pengurusan yang cekap, mengelak ketirisan, pembaziran dan rasuah, maka negara dan rakyat akan menikmati hasilnya.
Mengimbas kembali sejarah naik taraf LHDN kepada sebuah badan berkanun, Anwar berkata, naik taraf itu dibuat bagi mengenang jasa dan pengorbanan warga LHDN ketika itu yang berjaya melaksanakan kutipan cukai terhadap puluhan syarikat besar yang culas membayar cukai.
“Ketika itu, ada puluhan syarikat raksasa dan gergasi terkenal di negara ini tetapi sukar membayar cukai. Ada bayar setengah dan ada bayar suku. Mereka ini telalu besar, gergasi…naga, siapa berani singgung,’’ katanya.
Anwar berkata, ketika itu, LHDN berjaya mengutip cukai buat kali pertamanya daripada syarikat berkenaan hasil ketegasan dan keberanian.
Tahun lalu, Lembaga Hasil Dalam Negara (LHDN) mencipta sejarah kutipan cukai negara dengan kutipan sebanyak RM183.34 bilion, melebihi RM7.8 bilion atau 4.49 peratus daripada jumlah kutipan 2022.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Dr. Abu Tariq Jamaluddin berkata, pihaknya akan memberi tumpuan isu ketirisan bayaran cukai bagi memastikan sasaran kutipan cukai RM197 bilion bagi tahun ini dapat dicapai.
Beliau berkata, pihaknya mendapati masih ada individu yang culas membayar cukai dengan pelaporan cukai yang dibuat tidak setara dengan aset dan kekayaan yang dimiliki.
Katanya, ia juga membabitkan individu yang mempunyai pendapatan dari Malaysia yang disimpan dalam akaun luar negara yang belum dilapor.
“Kami juga akan menumpukan kepada aktiviti dan transaksi rentas sempadan, harga pindahan domestik, aktiviti atas talian dan kes ekonomi bayangan.
“Pada masa sama, pelaksanaan E-Invois juga adalah inisiatif utama LHDN pada 2024,” kata Abu Tariq sambil menggesa kakitangan LHDN tidak alpa dan selesa dengan kejayaan.
































