Razarudin Husain
PETALING JAYA: Nama peguam yang juga pengarah dan pemegang saham NERS Sdn. Bhd. (NERS), Mansoor Saat disenaraikan dalam notis merah Polis Antarabangsa (Interpol) pada 19 Februari lalu.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, permohonan meletakkan nama menantu bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin iaitu Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan ke dalam senarai notis merah belum dapat dilakukan kerana masih ada lagi maklumat tambahan diperlukan Interpol.
Kata beliau, satu maklum balas diterima Polis Diraja Malaysia (PDRM) daripada Interpol pada 19 Februari lalu yang menghendaki butiran lanjut mengenai Muhammad Adlan.
“Sebaik sahaja makluman itu diterima, kita (polis) telah majukan perkara berkenaan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan mereka.
“Dokumen yang lengkap dan mengandungi butiran diperlukan, kita akan majukan semula kepada pihak Interpol selepas itu,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Dalam pada itu,Razarudin berkata, dalam maklum balas sama, Interpol mengesahkan
telah menerbitkan notis merah terhadap Mansoor.
“Perkara ini telah dimajukan kepada pihak SPRM juga untuk tindakan segera,” katanya.
Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, tuduhan tanpa kehadiran terhadap Muhammad Adlan Berhan menjadi pilihan terakhir SPRM dalam mengambil tindakan perundangan berkait kes disiasat mereka.
Beliau bagaimanapun berkata, pihaknya belum mengambil pendekatan itu kerana yakin Muhammad Adlan masih boleh dikesan dan balik ke Malaysia untuk menghadapi pertuduhan tersebut.
Pada 25 Februari lalu, SPRM akan membuat semakan notis merah terhadap Muhammad Adlan.
PDRM telah membuat permohonan notis merah kepada Interpol terhadap Muhammad Adlan, 48, dan Mansoor pada Oktober tahun lalu.
Azam sebelum itu juga mengesahkan siasatan ke atas Muhammad Adlan sudah dilengkapkan dan beliau perlu menghadapi pertuduhan pecah amanah.
Pada Oktober tahun lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain mengesahkan telah menyerahkan dokumen diperlukan kepada Polis Antarabangsa (Interpol) untuk permohonan notis merah terhadap Muhammad Adlan dan Mansoor.


































