PETALING JAYA: Cuaca panas yang melanda negara ketika ini dijangka berterusan sehingga penghujung Mac 2024.
Dalam tempoh ini, litupan awan dan taburan hujan kelazimannya adalah kurang di kebanyakan tempat terutama di kawasan utara selain Kedah dan Perlis iaitu Perak, Pahang dan Kelantan.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Muhammad Helmi Abdullah berkata, cuaca panas yang dialami ketika ini adalah satu fenomena berulang yang berlaku saban tahun setiap Februari hingga Mei.
“Setakat ini, suhu tertinggi dicatatkan oleh stesen meteorologi utama MetMalaysia adalah 36.9 darjah Celcius, iaitu di Chuping, Perlis pada 8 Februari lalu.
“Berikutan fenomena El Nino kuat yang sedang melanda dunia ketika ini, dijangkakan suhu maksimum harian di negara kita boleh menjadi lebih tinggi di kebanyakan tempat,” katanya dalam satu kenyataan.
Semalam, akhbar ini melaporkan, 19 kawasan di seluruh negara merekodkan amaran cuaca panas Tahap 1 atau berjaga-jaga pada hari ini.
MetMalaysia dalam hantarannya mengeluarkan amaran gelombang haba atau cuaca panas Tahap 2 di daerah Pokok Sena, Kedah dengan suhu harian boleh mencecah 40 darjah Celsius.
Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air (SPAN), Charles Anthony Santiago berkata, negeri yang mempunyai paras empangan dalam situasi berjaga-jaga adalah Empangan Sembrong Barat di Johor yang mencatat paras 35.82 peratus.
“Buat masa ini kesemua empangan masih dalam keadaan baik dan terkawal kecuali Empangan Sembrong Barat, Johor tetapi bekalan air masih berada dalam keadaan terkawal.
“Paras air di Empangan Sembrong Barat yang berada pada paras ini merupakan paras yang telah ditetapkan oleh badan kawal selia air mentah negeri,” katanya.































