Bunuh tunang lelaki terlepas hukuman gantung tetapi di penjara 33 tahun.
PUTRAJAYA: Seorang bekas guru agama terlepas hukuman mati setelah Mahkamah Persekutuan hari ini menggantikannya dengan hukuman penjara 33 tahun dan dikenakan 12 sebatan kerana membunuh teman wanitanya yang juga janda anak empat, hampir sembilan tahun lalu.
Menurut Utusan Malaysia, panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Zabariah Mohd. Yusof mengetepikan hukuman gantung yang diputuskan terhadap Abdul Ra’of Mohd. Dimyati, 35, selepas membenarkan rayuan akhirnya terhadap hukuman.
Keputusan sebulat suara itu turut dicapai oleh Hakim-Hakim Datuk Harmindar Singh Dhaliwal dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil.
Bekas guru di sebuah sekolah rendah agama (SRA) itu disabitkan membunuh peniaga dalam talian, Nor Salina Nazir, 34, di kawasan lapang tepi sekolah itu di Kuala Kubu Baharu, Hulu Selangor pukul 8.30 malam, 5 Mei 2015.
Perayu yang sewaktu kejadian berusia 26 tahun didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang ketika itu memperuntukkan hukuman mati mandatori.
Abdul Ra’of didapati bersalah dan dijatuhi hukuman gantung oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 27 April 2018 dan keputusan itu disahkan oleh Mahkamah Rayuan pada 10 Ogos 2020.
Terdahulu, peguam Muhammad Izzat Irfan yang mewakili perayu memaklumkan, pihaknya menghantar representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi pengecualian hukuman mati sejajar dengan Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023.































