Sekitar Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 Putrajaya.
PUTRAJAYA: Golongan bumiputera Sabah perlu dibantu menerusi pelbagai inisiatif program ekonomi yang dirangka secara lebih khusus berasaskan kepada versi tempatan.
Menurut Utusan Malaysia, pandangan tersebut diutarakan Ketua Kluster Sosioekonomi Bumiputera Sabah, Prof. Madya Datuk Dr. Ramzah Dambul yang menyifatkan situasi ketika ini lebih berpusat.
“Justeru, saya mengesyorkan supaya Kerajaan Persekutuan dapat beralih daripada terlalu sentrik kepada ‘local champion’ atau boleh terus diurus oleh negeri itu sendiri,” katanya.
Beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Pembangunan Sabah berkata, rumusan itu diperoleh hasil penganjuran sesi libat urus di negeri tersebut baru-baru ini.
Negeri berkenaan ujarnya, agak unik dan amat berbeza daripada senario di Semenanjung kerana kelompok bumiputeranya terbahagi sama ada anak negeri Sabah atau bukan.
Malangnya kata beliau, jurang kemiskinan golongan tersebut amat besar iaitu kira-kira 7.9 peratus berbanding nasib bumiputera di Semenanjung yang direkodkan cuma 3.2 peratus.
Begitu juga jelasnya, sumbangan oleh bumiputera Sabah kepada Keluaran Dalam Negara Kasar apabila hanya 33.7 peratus sedangkan di Semananjung pula kira-kira 47.1 peratus.
“Situasi ini apabila dikaji banyak disebabkan pendanaan khusus bagi ekosistem program keusahawanan bumiputera Sabah bukan bawah bidak kuasa selia entiti negeri,” jelasnya.
Sehubungan itu, Ramzah menyatakan keadaan tersebut boleh ditangani sekiranya isu itu diletakkan terus kepada agensi negeri yang lebih faham senario isu sebenar di lapangan.
Tambah beliau, Sabah mempunyai ramai bakat berpotensi dalam kalangan bumiputera yang jika digilap dengan baik, mampu memberikan nilai tambah kepada imej Malaysia.
Apatah lagi, negeri berkenaan ujar beliau, memiliki banyak sumber asli tetapi masalah utama yang dikesan kluster itu ialah kekangan dari segi infrastruktur, ekosistem dan kapasiti.
Sehubungan itu, beliau memohon kerajaan pusat dapat memperbaiki keadaan tersebut yang bakal memudahkan keterhubungan akses selain mewujudkan rantaian ekonomi.
Ramzan malah mendedahkan bahawa, sekiranya isu itu tidak ditangani, julat kesenjangan pendapatan golongan T20 di Sabah yang merekodkan 46.2 peratus akan lebih jadi besar.
“Kami sedih jurang kemiskinan tegar di Sabah juga tertinggi di Malaysia iaitu 1.2 peratus malah kadar pengangguran pun paling tinggi di negara kita iaitu 7.7 peratus,” katanya.































