Pasukan bomba mengangkat mangsa ditemukan lemas di Sungai Ansip, Keningau semalam-Ihsan Bomba
KENINGAU: Seorang remaja perempuan yang jatuh tergelincir ke dalam sungai semasa mencuci pakaian di Sungai Ansip ditemukan lemas, di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang itu, mangsa dikenali sebagai Juliana Gabriel,17, dilaporkan hilang selepas jatuh tergelincir ke dalam sungai berkenaan.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau, Sharudy Delamin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada pukul 6.12 petang dan sepasukan sembilan pegawai serta anggota dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak pada jarak tujuh kilometer dari BBP.
Sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian, didapati seorang remaja bukan warganegara dilaporkan jatuh tergelincir semasa mencuci pakaian di sungai tersebut.
Pasukan bomba menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dengan mencari di permukaan air dan menyelam di kawasan mangsa dilaporkan hilang.
Mangsa ditemukan oleh pasukan bomba pada kedalaman 10 kaki dari lokasi mangsa terjatuh.
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan Polis Diraja Malaysia (PRM) dan mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Operasi SAR tamat sepenuhnya pada pukul 9.20 malam.
































