Rafizi Ramli
KUALA LUMPUR: Kementerian Ekonomi menyasarkan membentang undang-undang anti ali baba pada akhir tahun ini yang membolehkan tindakan diambil kepada rakyat Malaysia yang ‘menyewakan’ lesen perniagaan kepada pekerja asing.
Menurut Utusan Malaysia, Menterinya, Rafizi Ramli berkata, kerajaan dalam proses melaksana kajian kerangka undang-undang berkenaan termasuk mendapatkan input daripada pelbagai pihak berkepentingan.
“Tujuannya bagi mendapatkan perspektif yang jelas mengenai isu berkaitan ali baba. Ini berikutan isu berkenaan merentasi pelbagai sektor serta memerlukan tindakan undang-undang bersesuaian,” katanya dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat semalam.
Beliau menjawab soalan Datuk Alias Razak [PN-Kuala Nerus] mengenai perkembangan terkini berkaitan perkara itu dan soalan Zahari Kechik [PN-Jeli] yang merupakan ahli Parlimen pembangkang menyokong kerajaan, berhubung rasional memperkenal akta itu.
Dalam pada itu, katanya, cadangan undang-undang itu dibuat selepas kerajaan mendapati tiada undang-undang berkaitan pada masa ini yang dapat membendung isu tersebut secara menyeluruh dan berkesan.
Jelasnya, akta sedia ada seperti Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009, Akta Persaingan 2010, Akta Syarikat 2016 serta undang-undang kecil sedia ada masih tidak mencukupi untuk membendung aktiviti ali baba.
“Kerajaan juga mendapati perlakuan atau aktiviti Ali Baba ini boleh memberi kesan negatif kepada ekonomi dengan meningkatkan kos operasi, menjejaskan kualiti produk dan perkhidmatan serta melebarkan jurang ketidaksamaan dalam masyarakat atau ekonomi,” katanya.
Pada Disember tahun lalu, Rafizi berkata, isu ali baba yang semakin berleluasa berpunca akibat lambakan pekerja asing apabila negara terlalu bergantung kepada mereka terutama bagi sektor 3D (kotor, bahaya dan sukar).
Pada 14 Julai tahun lalu, kerajaan dilaporkan akan memperkenal undang-undang anti-Ali Baba dalam usaha menghapus amalan berkenaan dalam sektor ekonomi di negara ini.
Rafizi berkata, pengenalan undang-undang itu perlu dibuat bagi memastikan usaha menghapuskan amalan ali baba tidak dibuat secara cakap kosong, sebaliknya menerusi akta khusus.
Katanya, penyelesaian menyeluruh dan berstruktur perlu bagi menghentikan budaya ali baba, selain negara yang dianggarkan mengalami kerugian antara RM17 juta hingga RM18 juta susulan amalan tersebut.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum itu dilaporkan berkata, kerajaan dalam proses merangka dasar anti ali baba bagi menangani kesan negatif budaya itu terhadap ekonomi.
Pada 21 Disember tahun lalu, media melaporkan, kira-kira 1,000 anggota dan pegawai polis Pasukan Gerakan Am (PGA) mengepung ‘mini Dhaka’ dalam operasi khas membanteras warga asing di Jalan Silang di sini.
Kepungan bermula pada pukul 11 pagi itu bagi menyerbu kebanjiran warga asing dilihat semakin ‘besar kepala’ membuka perniagaan selain ‘berlagak’ seperti warga tempatan.
Difahamkan serbuan bagi menangani kebanjiran warga asing di Jalan Silang dan perniagaan yang dimiliki serta menggajikan warga asing.
Kebanyakan warga asing melibatkan warga Bangladesh, Nepal dan Myanmar itu gagal melarikan diri selepas kepungan mengejut dibuat.
Sekurang-kurangnya 500 warga asing ditahan sebelum dibawa Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur untuk proses semakan dokumentasi.
Pada Mac lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, kerajaan menyasarkan hanya 20 peratus pekerja asing menjelang 2030 bagi memastikan semua majikan dan pemain industri mengutamakan tenaga kerja tempatan.

































