Fadillah Yusof
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan meneliti cadangan pengecualian kenaikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) ke atas bil air dan elektrik.
Menurut Utusan Malaysia, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof bagaimanapun berkata, tiada keputusan muktamad berhubung saranan itu setakat ini.
“Belum ada tarikh khusus (untuk bincang), tetapi Kementerian Kewangan sedang melihat secara keseluruhan,” katanya kepada pemberita, di sini.
Semalam, Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong dalam sidang Dewan Rakyat merayu kerajaan mengecualikan kenaikan kadar SST bagi elektrik dan air.
Menurut beliau, kadar SST bagi elektrik dan air patut dikekalkan sama seperti sektor makanan dan minuman (F&B), tempat letak kereta dan telekomunikasi.
Sebelum ini, cadangan bil air dan elektrik dikecualikan kenaikan lapan peratus SST dilapor akan dibawa untuk pertimbangan Majlis Tindakan Sara Hidup (Naccol).
Dilaporkan, kerajaan sedang melihat impak dan kesan kenaikan SST yang bermula bulan depan.
Terdahulu, Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air menyaksikan majlis menandatangani perjanjian pembiayaan bernilai RM91.5 juta antara Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) dengan Sand Town Solar Sdn Bhd (STS) di sebuah hotel hari ini.
STS merupakan anak syarikat milik penuh Kumpulan Gading Kencana Sdn Bhd (GKSB), sebuah syarikat perkhidmatan tenaga boleh baharu termasuk dalam rekaan dan pemasangan sistem fotovolta solar, pemasangan dan penyelenggaraan sistem elektrik serta sistem pengurusan tenaga.
Pembiayaan daripada Bank Islam itu dimanfaatkan bagi memenuhi perbelanjaan modal yang diperlukan STS termasuk pembiayaan semula tanah dan kos pembangunan bagi projek ladang fotovolta (PV) solar berkapasiti 29.99 megawatt (MW) di Bidor, Perak.
Pemeteraian perjanjian disempurnakan oleh Pengarah, Penyelesaian Pelanggan Komersial, Perbankan Institusi Bank Islam, Ahmad Haliman Abd Halim, dengan Pengarah Urusan Kumpulan GKSB, Datuk Dr. Ir. Muhamad Guntor Mansor Tobeng.































