Wilfred Madius Tangau
KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Rakyat sekali lagi diingatkan tentang Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang sebelum ini diumumkan bakal dilaksanakan sepenuhnya menjelang Julai tahun ini.
Ahli Parlimen Tuaran Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, sepatutnya tumpuan pada ketika ini difokuskan kepada penyediaan mekanisme pelaksanaan dan bukannya masih di peringkat rundingan.
“Sebagai contoh, pelaksanaan ‘revenue sharing’ dalam Perkara 112C dan Seksyen 2(1) Bahagian IV Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan iaitu pemberian Hak Perlembagaan kepada Sabah untuk mendapatkan ⅖ ataupun 40% daripada jumlah pungutan hasil persekutuan daripada Sabah.
“Walaupun perkara ini telah berkali-kali dibangkitkan di Dewan Yang Mulia ini, namun Hak Perlembagaan Sabah ini telah dinafikan sejak sekian lama.
“Namun, Tuaran tetap berharap agar jaminan pelaksanaan hak Sabah ini dilaksanakan sebelum Julai 2024 dapat ditunaikan seperti yang diumumkan,” katanya dalam ucapan perbahasan di Persidangan Parlimen Dewan Rakyat di sini kelmarin.
Madius berkata, pada ketika kenyataan-kenyataan seperti, “kita adalah generasi pelaksana, oleh itu laksanakan saja MA63 tidak perlu lagi dirunding” terus berkumandang, namun hakikatnya sehingga kini masih ada yang belum dilaksanakan dan ditunggu-tunggu oleh rakyat Sabah dan Sarawak.
Dalam hal ini katanya, dua perkara yang perlu dielakkan iaitu proviso Perkara 112C tidak dikelirukan dengan proviso Perkara 112D.
“Pada Tuaran, Perkara 112D hanya berbangkit apabila Perkara 112C telah diterima dan diiktiraf sebagai hak Sabah dan kerajaan bersetuju untuk melaksanakannya.
“Jika sekiranya kerajaan tidak mengiktiraf dan tidak melaksanakan perkara 112C, maka perkara 112D tidak berbangkit.
“Tetapi apabila dibentangkan pewartaan tempoh hari berkenaan dengan perkara ini, yang diungkit dan dibangkitkan ialah 112D yang sepatutnya tidak berbangkit kerana ia tidak dirujuk langsung tentang hak perlembagaan Sabah iaitu 112C.
“Dan yang kedua, bahawa Hak Perlembagaan Sabah dalam Perkara 112C ini adalah istimewa kepada Sabah sahaja,” jelas bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah itu lagi.
Ujarnya, pewartaan Warta Kerajaan Persekutuan Pada 20 April 2022 iaitu Perintah Perlembagaan Persekutuan (Kajian Semula Pemberian Khas di bawah Perkara 112D) (Negeri Sabah) Tahun 2022, tidak ada kena mengena dengan langkah melaksanakan hak Perlembagaan Sabah dalam Hal Perkongsian Hasil.
“Demikian juga pada Warta Kerajaan Persekutuan Pada 24 November 2023 iaitu Perintah Perlembagaan Persekutuan (Kajian Semula Pemberian Khas di bawah Perkara 112D) (Negeri Sabah) Tahun 2023.
“Oleh itu, Tuaran meminta Kerajaan Persekutuan supaya mengambil langkah-langkah positif untuk menyediakan mekanisme melaksanakan tuntutan Hak Perlembagaan Sabah tersebut,” katanya.
Kemungkaran Pejanjian MA63 satu sumpahan kepada Sabah
Sementara itu, Madius berkata, kemungkaran dalam memenuhi MA63 berkemungkinan antara penyebab sumpahan kepada pelbagai masalah di Sabah.
Beliau berkata, sumpahan itu juga mungkin akibat kemungkaran terhadap tiga perkara dalam Batu Bersumpah Keningau yang dibina seiring dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Setahun selepas pembentukan Malaysia, batu sumpah ini dilancarkan iaitu pada 30 Ogos 1964 dengan mengandungi tiga perkara iaitu Kebebasan beragama di Sabah; Tanah adalah hak Sabah dan; Adat Istiadat hendaklah dilindungi dan dipelihara di Sabah.
“Ia dilancarkan mengikut ritual adat tradisi termasuk beberapa ekor haiwan seperti kerbau, lembu, kambing, babi dan ayam telah disembelih dan darah haiwan-haiwan ini dicurahkan diatas Batu Sumpah.
“Menurut kepercayaan orang-orang Momogun di Sabah, sumpahan yang diikat sedemikian rupa akan berterusan mengikat pihak-pihak yang terlibat sehinggalah ia menjadi Sumpahan Generasi ataupun Generational Curse,” katanya.
Menurut beliau, sepanjang 60 tahun terbentuknya Malaysia, Sabah telah melalui liku-liku sejarah yang mana Kebebasan Beragama terancam; tanah Sabah iaitu Labuan diserahkan kepada Persekutuan menjadi Wilayah Persekutuan tanpa apa-apa pampasan, dan seluas 124,389 hektar tanah Sabah diserahkan kepada FELDA tanpa pemilikan ekuiti daripada Kerajaan Sabah.
“Semua ini secara terang-terangan merupakan pelanggaran terhadap perakuan Batu Sumpah Keningau.
“Sebab itu apabila lapan daripada 10 daerah termiskin di Malaysia ini adalah dari Sabah. Masalah bekalan air, masalah bekalan elektrik, masalah jalan-jalan raya, masalah banjir, masalah jambatan-jambatan gantung yang usang tidak selesai-selesai, masalah kebanjiran pendatang Tanpa Izin (PTI).
“Pelbagai masalah pembangunan menghantui Sabah. Maka Tuaran ingin bertanya apakah ini kerana Sumpahan Generasi yang diikat oleh Batu Sumpah Keningau?
“Apakah hanya kita di Sabah yang terkena sumpahan kerana jaminan dan perakuan dalam MA63 telah dicabul atau tidak dilaksanakan. Maka sebab itu, adalah menjadi tanggungjawab kita semua agar MA63 itu dilaksanakan dengan sepenuhnya,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan agar MA63 perlu dilaksanakan sepenuhnya menjelang Julai 2024 seperti yang diumumkan sebelum ini.
“Memang benar kita adalah generasi pelaksana, persoalannya apa lagi yang perlu ditunggu-tunggu? Apa lagi yang mau dirunding-runding? Laksanakan sahaja MA63 ini,” tegas beliau.































