Seorang pekerja asing maut dirempuh kenderaan terbabas ketika sedang membaiki jalan di Jalan Senibong, Johor Bahru.
JOHOR BAHRU: Seorang pekerja asing yang sedang membaiki jalan maut apabila dirempuh sebuah kenderaan yang terbabas di Jalan Senibong, di sini awal pagi tadi.
Menurut Utusan Malaysia, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Malaysia Pasir Gudang, Pegawai Bomba Kanan II, Shafie Md. Don berkata, pihaknya menerima maklumat tentang kejadian itu pada pukul 6.35 pagi dan seramai sembilan anggota berserta dua jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi, didapati kemalangan itu melibatkan sebuah kenderaan jenis Perodua Alza yang terbabas dan merempuh seorang pekerja yang sedang membaiki jalan.
“Lelaki warga asing yang dirempuh itu telah tersepit di bawah kenderaan dan disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai kesihatan. Pemandu Perodua Alza, iaitu seorang lelaki tempatan berusia 52 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Shafie berkata, anggota kemudian bertindak mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas sebelum diserahkan kepada polis.
Operasi itu tamat pada pukul 7.11 pagi.


































