Mohd. Yaakob Haji Jaafar
KOTA KINABALU: Pengumuman Kerajaan untuk menaikkan kadar cukai perkhidmatan (SST) turut melibatkan pengguna di negeri ini.
Kadar cukai SST ini akan berubah iaitu daripada 6% kepada 8% bermula 1 Mac ini.
Ketua Pegawai Eksekutif SESB, Ir. Ts. Mohd. Yaakob Haji Jaafar berkata, hanya penggunaan elektrik 600 kWh ke atas ataupun bil bulanan berjumlah RM203 ke atas sahaja akan terlibat dengan cukai SST 8% ini.
Katanya, kenaikan kadar cukai SST ini dijangkakan akan memberi kesan terhadap 95,982 pemegang akaun ataupun 16.72% pengguna sahaja dan tidak melibatkan pengguna secara keseluruhan.
“SESB sentiasa memantau dan bersedia membantu untuk memberi kefahaman kepada pengguna sekiranya berlaku sebarang kerumitan semasa peralihan ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Untuk pertanyaan lanjut, pengguna boleh mendapatkan maklumat berkaitan cukai SST di laman sesawang rasmi SESB di www.sesb.com.my.


































