Nor Hisham Mohammad (tengah) semasa sidang media di Kota Bharu, Kelantan kelmarin.
KOTA BHARU: Jabatan Bomba Penyelamat dan Malaysia (JBPM) mengenal pasti lima negeri mempunyai kapasiti tanah gambut tinggi yang berisiko berlaku kebakaran hutan sekiranya berlakunya pembakaran terbuka semasa fenomena El Nino.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Pengarahnya, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, kawasan yang dikenal pasti ialah Rompin, Pekan dan Kuantan di Pahang, Sipitang dan Beaufort di Sabah, hampir keseluruhan Selangor, Johor selain Sarawak.
Katanya, sehubungan itu, JBPM sudah menjalankan koordinasi dengan Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Alam Sekitar, dan Jabatan Mineral dan Geosains termasuk pihak ladang di bawah kawal selia pejabat daerah.
“Langkah awal itu bagi memastikan pam, empangan dan paras air berada mengikut keperluan. Kawasan parit juga perlu berada paras iaitu 60 sentimeter.
“Kawasan hutan tersebut yang dikenal pasti melibatkan tanah gambut yang dimajukan dengan keluasan 201,000 hektar,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2023 dan Sijil Perkhidmatan 30 Tahun di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Nor Hisham memberitahu,sehubungan itu semua anggota diarahkan supaya melakukan rondaan khususnya di kawasan tanah gambut sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelak terperangkap kebakaran hutan.
Katanya, selain itu, komuniti setempat perlu bekerjasama dengan JBPM berhubung kebakaran tersebut.
“Berdasarkan perangkaan jenis kebakaran di negara ini, pembakaran hutan merekodkan peningkatan pada tahun lalu dengan 1,291 kes berbanding 692 kes pada 2022.
“Sebanyak 62 kes kebakaran hutan dilaporkan berlaku sepanjang bulan ini. Justeru, masyarakat setempat disarankan untuk tidak melakukan pembakaran terbuka terutamanya melibatkan sampah yang boleh memberi kesan kepada semua pihak,” ujarnya.
































