KUALA LUMPUR: Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah bahawa Seri Paduka tidak akan melayani sebarang permintaan mana-mana pihak yang cuba menggugat kestabilan politik negara.
Menurut Utusan Malaysia, Yang di-Pertuan Agong bertitah, semua pihak mestilah menerima kenyataan dan menghormati kerajaan Perpaduan yang telah dibentuk.
“Jika ada hendak bermain politik, tunggu masa pilihan raya yang akan datang,” titah Seri Paduka dalam titah diraja Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Majlis Parlimen Ke-15.
Sultan Ibrahim menyeru semua sama ada kerajaan atau pembangkang untuk bersatu hati dan berganding bahu serta bekerjasama untuk membangunkan negara demi kepentingan keseluruhan rakyat Malaysia.
Seri Paduka berharap semua ahli yang berhormat untuk menumpukan usaha membela hidup rakyat dan bukannya kepentingan parti politik dan diri sendiri.
“Di mata saya, kejayaan atau kegagalan negara ini bukan terletak di bahu Perdana Menteri sahaja, tetapi semua 222 ahli Dewan Rakyat yang telah diamanahkan oleh rakyat sebagai wakil rakyat mereka dalam kerajaan.
“Semua pihak sedia maklum keutamaan saya adalah keadaan hidup lebih 33 juta rakyat Malaysia di luar sana. Oleh itu, Saya berharap semua ahli dewan akan menumpukan usaha untuk membela nasib hidup seluruh rakyat ,” titah Seri Paduka.
Titah Sultan Ibrahim, Seri Paduka berharap semua ahli Dewan akan menunjukkan contoh teladan yang baik apabila berada di dewan dengan mematuhi peraturan sepanjang tempoh persidangan.
Seri Paduka mengingatkan bahawa Parlimen ini adalah tempat para penggubal undang-undang berhimpun untuk membuat peraturan dan semua ahli dewan adalah para penggubalnya.
“Oleh itu, adalah tidak masuk akal jika penggubal undang-undang itu sendiri gagal untuk mematuhi peraturan yang dibuat,” titah Seri Paduka.
































