Sebahagian ahli Parlimen yang menghadiri Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Majlis Parlimen Ke-15 di Parlimen, hari ini. – Gambar Jabatan Penerangan Malaysia
KUALA LUMPUR: Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Dewan Negara diberi lampu hijau untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana wakil rakyat yang tidak mematuhi peraturan sepanjang persidangan termasuk mengambil keputusan sekatan selama 14 hari.
Menurut Utusan Malaysia, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah, Seri Paduka berasa malu memasuki Dewan Parlimen setelah gelagat dan perangai ahli-ahli Parlimen sebelum ini.
Justeru, Sultan Ibrahim berharap semua ahli Dewan menunjukkan teladan yang baik apabila berada di dalam Dewan yang mulia itu.
“Jaga adab, jaga tatatertib serta gunakan tutur kata yang sopan dan bukannya memaki hamun orang lain. Kalau tengok perangai sebelum ini, saya pun berasa malu hendak masuk ke dalam Dewan ini.
“Yang Dipertua kedua-dua Dewan mesti menjalankan tugas dengan tegas bgai memastikan semua ahli masyarakat mematuhi peraturan dan disiplin sepanjang tempoh persidangan.
“Saya berikan green light (lampu hijau) kepada speaker untuk ambil tindakan ahli melampau batas, boleh kenakan banned (sekatan) 14 hari jika ada masih degil,” titah Seri Paduka dalam Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Majlis Parlimen Ke-15, hari ini.
Sultan Ibrahim mengingatkan bahawa Parlimen adalah tempat para penggubal undang-undang berhimpun untuk membuat peraturan dan semua wakil rakyat adalah para penggubalnya.
“Oleh itu, adalah tidak masuk akal jika penggubal undang-undang itu sendiri gagal untuk mematuhi peraturan yang dibuat,” titah Sultan Ibrahim.


































