Gambar tular di media sosial memaparkan seorang lelaki membenarkan remaja bawah umur memandu kereta di Taman Daya, Johor Bahru.
JOHOR BAHRU: Seorang lelaki bakal didenda RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun gara-gara membenarkan remaja berusia 13 tahun memandu kereta Perodua Alza di kawasan taman permainan Taman Daya, di sini, Ahad lalu.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, hukuman itu boleh dikenakan kerana tindakan suspek itu terdapat unsur-unsur pengabaian dan mendedahkan kanak-kanak kepada kecederaan fizikal.
Beliau berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu susulan tular gambar yang memaparkan kejadian itu di media sosial.
“Polis menerima maklumat seorang remaja di bawah umur sedang memandu kenderaan di jalan raya awam dengan seorang lelaki dewasa duduk di sebelah tempat penumpang kira-kira pukul 12 tengah hari, semalam.
“Hasil siasatan yang dijalankan, pihak IPD JBS mengesahkan kejadian berlaku Ahad lalu sekitar pukul 5.30 petang di kawasan Taman Permainan Taman Daya.
“Ketika kejadian, suspek yang juga merupakan anak kepada pengasuh kanak-kanak tersebut telah membenarkan kanak-kanak itu memandu kereta dengan tujuan mengajarnya memandu,” katanya kepada pemberita hari ini.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana terdapat unsur-unsur pengabaian dan mendedahkan kanak-kanak kepada kecederaan fizikal.
Tambahnya, suspek turut dikenakan saman atas kesalahan Seksyen 39(5) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian jenayah, boleh menghubungi terus talian hotline IPD Johor Bahru Selatan di talian 07-2182323.
































