Dr. Dzulkefly Ahmad
KUALA LUMPUR: Pegawai perubatan yang diarah bertugas pada Sabtu dan Hari Kelepasan Am layak menerima Elaun Lokum pada kadar RM80 per jam.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, pihaknya telah memperhalusi perkara itu dan dibayar serta-merta.
“Timbul isu bayaran elaun untuk doktor yang membuat kerja lebih masa, saya perhatikan ramai yang memohon dan baru sahaja mendapat kelulusan.
“Itu adalah satu berita baik yang saya hendak sampaikan,” katanya selepas sesi menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan IHH Healthcare Malaysia di sini, kelmarin.
Sementara itu, pegawai perubatan yang bertugas pada Ahad membabitkan waktu bekerja mulai pukul 9 pagi hingga 1 petang, boleh menuntut cuti gantian tertakluk kepada kelulusan ketua jabatan.
Terdahulu, KKM dalam satu kenyataan memaklumkan, pelaksanaan projek rintis pemanjangan waktu operasi klinik berdekatan hospital pada tahun lalu telah diteliti dan permohonan untuk meneruskan pembayaran Elaun Lokum menjadi pertimbangan Pusat.
Dalam tempoh ini, pegawai perubatan yang bertugas pada hari Ahad diberi kelulusan khas secara bertempoh dalam projek rintis, bagi membolehkan Elaun Lokum dibayar sekiranya mereka diarah bertugas secara lokum.
Pegawai farmasi dan juru X-ray dalam kumpulan pengurusan dan profesional juga diberi pemanjangan Elaun Lokum pada kadar yang berbeza.


































