Anthony Loke
PUTRAJAYA: Seramai 35,000 pemandu teksi dan 18,000 pemandu bas sekolah bakal menikmati caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan bermula Mac ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, kerajaan akan menanggung sepenuhnya caruman itu dimana 90 caruman dibiayai Kementerian Kewangan manakala baki 10 peratus ditanggung oleh Kementerian Pengangkutan bagi tempoh setahun.
Beliau berkata, Kementerian Kewangan menyediakan peruntukan sebanyak RM100 juta kepada Perkeso untuk mencarum sehingga 90 peratus bagi pemandu teksi, e-hailing, p-hailing dan sebagainya.
“Walaupun 90 peratus, tetapi 10 peratus perlu dicarum sendiri oleh pemandu sendiri, jadi untuk golongan ini, kita akan bantu caruman tambahan 10 peratus itu,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Sua Kasih Kementerian Pengangkutan di sini, hari ini.
Sebelum ini, Kementerian Pengangkutan bersetuju melaksanakan inisiatif bantuan caruman Perkeso sepenuhnya kepada hampir 40,000 pemandu teksi di seluruh negara tahun ini.
Kesemua inisiatif bantuan itu dilaksanakan menerusi hasil bidaan nombor pendaftaran istimewa (NPI) yang dikelolakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Mengulas lanjut, Loke berkata, beliau sudah berbincang dengan Perkeso bagi pelaksanaan inisiatif itu termasuk meminta Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk menyerahkan senarai pemandu dalam pangkalan data agensi itu.
“Kita jangka ia dapat dilaksanakan Mac ini. Maksudnya pemandu teksi dan pemandu bas sekolah tak perlu mencarum satu sen pun untuk tempoh setahun dan mereka cuma perlu daftar nama mereka,” ujarnya.
Ditanya jika pelaksanaannya diteruskan untuk tahun depan, Loke berkata, ia bergantung kepada peruntukan ketika itu.


































