Anwar Ibrahim
PETALING JAYA: Malaysia mencatatkan jumlah pelaburan diluluskan sebanyak RM329.5 bilion pada tahun lepas, meningkat 23 peratus berbanding tahun 2022 sekali gus menyaksikan jumlah itu adalah pelaburan diluluskan tertinggi dalam sejarah negara.
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelaburan asing merupakan penyumbang utama iaitu sebanyak 57.2 peratus berbanding pelaburan domestik sebanyak 42.8 peratus.
Beliau berkata, prestasi cemerlang itu juga disokong oleh peningkatan sebanyak 35.1 peratus bagi pelaburan domestik dan sebanyak 15.3 peratus bagi pelaburan asing.
Justeru, kata beliau, ini merupakan satu petanda bahawa dasar mesra pelaburan dan mesra perniagaan yang dilaksanakan menerusi pendekatan seluruh kerajaan mula membuahkan hasil dalam meningkatkan keyakinan pelabur.
“Landskap pelaburan negara yang memperlihatkan prestasi yang amat memberangsangkan itu juga mencerminkan pemulihan dan kebangkitan semula ekonomi negara sepanjang lebih setahun pentadbiran Kerajaan Madani,” kata beliau dalam kenyataan.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, jumlah pelaburan yang diluluskan tersebut melibatkan 5,101 projek dan berpotensi mewujudkan lebih 127,000 peluang pekerjaan baharu kepada rakyat dan negara.
“Sektor perkhidmatan merekodkan pelaburan tertinggi dengan menyumbang lebih daripada separuh (51.1 peratus) dari jumlah pelaburan yang diluluskan iaitu RM168.4 bilion.
“Ia diikuti oleh sektor perkilangan sebanyak RM152.0 bilion (46.1 peratus) dan sektor utama sebanyak RM9.1 bilion (2.8 peratus),” katanya.
Dalam pada itu, mesyuarat mesyuarat Majlis Pelaburan Negara semalam turut membincangkan hala tuju pelaburan digital negara, selaras dengan perkembangan sektor ekonomi digital yang semakin pesat.
Ekonomi digital di Malaysia yang telah menyumbang sebanyak 23.2 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2021, diunjurkan meningkat kepada 25.5 peratus menjelang tahun 2025.
“Bagi tempoh 2021 hingga 2023, sebanyak 396 projek berkaitan digital telah diluluskan dengan nilai pelaburan sebanyak RM128.9 bilion, yang merangkumi projek yang diluluskan melalui Jawatankuasa Nasional Mengenai Pelaburan (NCI).
“Pelaburan dalam projek digital ini dijangka mewujudkan peluang pekerjaan kepada 36,553 rakyat tempatan.
“Antara pelaburan digital yang diluluskan adalah dalam sektor pusat data, pengkomputeran awan, pengehosan data, analisis data besar, dan kecerdasan buatan,” katanya.
Pada masa sama, Perdana Menteri berkata, kehadiran syarikat-syarikat digital terkemuka dunia dan peneraju pasaran global di Malaysia juga memberi isyarat penting bahawa Malaysia mempunyai tarikan dan ekosistem pelaburan yang kondusif untuk pelaburan digital.
“Justeru, kerajaan perlu memudahcara sebaik mungkin pelaburan digital berpotensi tanpa sebarang kompromi terhadap aspek berkaitan keselamatan data dan kedaulatan negara,” katanya.


































